fb fb fb fb fb

Perbendaharaan AS usaha perkukuh pasaran bon di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi

(Foto hiasan)

NEW YORK, 25 Oktober- Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) sedang mengusahakan pembaharuan untuk mengukuhkan pasaran wang swasta dan dana bon di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia yang semakin meningkat, menurut Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen, lapor UPI.

Yellen yang membuat kenyataan itu pada mesyuarat tahunan Persatuan Industri Sekuriti dan Pasaran Kewangan di New York pada Isnin, memberi amaran bahawa walaupun sistem kewangan AS berhadapan tekanan yang ketara, namun pasaran terbukti stabil setakat ini.

Sehingga kini, sistem kewangan AS bukan merupakan punca ketidakstabilan ekonomi, kata Yellen. Walaupun kami terus memantau risiko yang muncul sistem kami kekal berdaya tahan dan terus beroperasi dengan baik dalam situasi tidak menentu ini.

Walaupun hasil bon AS yang disebut Yellen sebagai asas dalam sistem kewangan global semakin meningkat seiring dengan kadar faedah, pasaran juga dilanda kos urus niaga lebih tinggi dan paras mudah tunai lebih rendah berikutan peningkatan inflasi.


(Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen/AFP)

Awal bulan ini, Bank of England mengumumkan campur tangan tambahan dalam pasaran bonnya bagi memulihkan keyakinan setelah inflasi melonjak setinggi 13 peratus di Britain tahun ini.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini pasaran saham AS mengalami perubahan besar disebabkan inflasi yang tinggi dan kadar faedah meningkat. Walaupun purata Dow Jones Industrial pulih sejak bulan lepas, angkanya masih turun hampir 14 peratus tahun ini.

"Kami mahu memastikan bahawa pasaran Perbendaharaan kami kekal kukuh, kecairan (mudah tunai) serta berfungsi dengan baik.

“Kami sedang aktif berusaha untuk memperkukuh fungsi pasaran itu bagi melihat dengan teliti perkara yang mungkin sesuai. Keupayaan peniaga-broker sebagai pengantara pasaran kurang berkesan berdasarkan kapasiti mereka yang tidak berkembang sejajar saiz pasaran.

“Oleh itu, kami sedang melihat beberapa cara untuk meningkatkan daya tahan," kata Yellen.

Ketika Perbendaharaan berusaha untuk mengukuhkan pasaran, Yellen berkata kita berada pada saat penting dalam ekonomi global dan keutamaan AS adalah untuk mengekang inflasi yang tinggi dan kos tenaga.

“Di AS, kami memberi tumpuan kepada peralihan ekonomi kepada pertumbuhan stabil dan mampan. Ekonomi AS mengekalkan kekuatannya dengan ketara. Namun inflasi kekal terlalu tinggi dan kami berdepan dengan masalah global yang serius,” kata Yellen.- BERNAMA

Media Baharu