fb fb fb fb fb

Perbelanjaan ketenteraan Eropah lepasi AS$2.24 trilion

(FOTO AFP)

STOCKHOLM, 24 April-Eropah memperuntukkan perbelanjaan tertinggi bagi ketenteraan pada 2022 mencapai tahap yang tidak pernah disaksikan sejak Perang Dingin berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kata penyelidik keselamatan global hari ini.

Peningkatan perbelanjaan di Eropah itu menyaksikan perbelanjaan ketenteraan meningkat buat kali kelapan berturut-turut kepada $2.24 trilion AS atau 2.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).

Menurut salah seorang penyelidik Nan Tian peningkatan perbelanjaan itu bukan sahaja disebabkan konflik pencerobohan Rusia terhadap Ukraine tetapi turut dipengaruhi oleh di Asia Timur membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan China.

"Peningkatan perbelanjaan ketenteraan didorong oleh perang di Ukraine, dan juga ketegangan yang tidak dapat diselesaikan dan semakin teruk di Asia Timur antara AS dan China", katanya kepada AFP.

Eropah membelanjakan 13 peratus lebih banyak untuk tenteranya pada 2022 berbanding 12 bulan sebelumnya iaitu sebelum bermulanya pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Menurut SIPRI, Angka itu tidak mengambil kira kadar inflasi yang mendadak, yang bermaksud nilai perbelanjaan sebenar adalah lebih tinggi.

Angka itu menunjukkan peningkatan tertinggi sejak lebih 30 tahun dan mencapai tahap perbelanjaan pada tahun 1989 selepas runtuhnya Tembok Berlin pada 1989.

Menurut kajian itu, Ukraine meningkatkan perbelanjaannya tujuh kali ganda kepada $44 bilion, atau satu pertiga daripada KDNKnya.

Negara ini juga telah mendapat manfaat daripada berbilion dolar sumbangan senjata dari luar negara, kata SIPRI lagi.

Pada masa yang sama, perbelanjaan Rusia pula meningkat sebanyak 9.2 peratus tahun lepas.

Perbelanjaan di Eropah, yang berjumlah $480 bilion AS pada tahun 2022, telah meningkat sebanyak satu pertiga dalam dekad yang lalu, dan trend itu dijangka berterusan pada dekad yang akan datang.

Selepas merosot mendadak pada tahun 1990 perbelanjaan ketenteraan global telah meningkat sejak tahun 2000

Kenaikan itu pada bermula hasil daripada pelaburan besar China dalam bidang ketenteraan yang kemudiannya diikuti dengan konflik baharu dengan Rusia selepas pengilhakan Crimea pada 2014.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) pula menyumbang 39 peratus daripada perbelanjaan ketenteraan global diikuti China, yang menduduki tempat kedua dengan 13 peratus,

Kedua-dua negara itu menyumbang lebih separuh daripada perbelanjaan ketenteraan global.

Amerika Syarikat (AS) dan China meninggalkan jauh negara-negara seperti Rusia dan India masing-masing menyumbang 3.8 peratus dan 3.6 peratus.

Menurut Nan Tian, China memperuntukkan perbelanjaan bagi memperkasakan pasukan tentera laut dalam usaha memperluas kekuasaanya ke Taiwan dan Laut China Selatan.

Menurut kajian itu juga, Jepun, serta Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Australia semuanya mengikuti trend tersebut.-AFP



(Foto hiasan/Foto AFP)

 

Media Baharu