fb fb fb fb fb

Perantara tunggu jawapan Israel terhadap tawaran gencatan senjata baharu

Penduduk Palestin membaling batu ke arah kenderaan tentera Israel semasa serbuan di Kem Pelarian Al-Amari berhampiran Ramallah, Tebing Barat. Foto- AFP

BAITULMAQDIS, 19 Ogos - Perantara sedang menunggu jawapan Israel terhadap pelan gencatan senjata terbaharu di Gaza, sehari selepas Hamas menerima cadangan itu dan menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan baharu bagi menamatkan perang hampir dua tahun.

Sepanjang konflik, kedua-dua pihak pernah mengadakan rundingan tidak langsung yang menghasilkan dua gencatan singkat serta pertukaran tahanan Israel dengan tahanan Palestin, namun gagal mencapai perjanjian kekal.

Usaha perantaraan diketuai Mesir dan Qatar dengan sokongan Amerika Syarikat, melibatkan rundingan diplomasi berulang-ulang bagi memecahkan kebuntuan.

Mesir pada Isnin berkata, ia bersama Qatar telah menyerahkan cadangan baharu itu kepada Israel, sambil menegaskan “bola kini berada di gelanggang mereka.”

Menurut laporan stesen penyiaran swasta Mesir Al-Qahera, pelan itu mencadangkan gencatan senjata awal selama 60 hari, pembebasan sebahagian tahanan, pembebasan sejumlah tahanan Palestin serta kebenaran membawa masuk bantuan kemanusiaan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, masih belum mengulas secara terbuka mengenai cadangan itu, tetapi minggu lalu menegaskan negaranya hanya akan menerima “perjanjian yang membabitkan pembebasan semua tahanan sekali gus dan mengikut syarat Israel untuk menamatkan perang.”

Pegawai kanan Hamas, Mahmoud Mardawi, pula berkata menerusi media sosial bahawa kumpulannya telah “membuka luas peluang untuk mencapai perjanjian, namun persoalannya sama ada Netanyahu akan sekali lagi menutup pintu itu, seperti yang dilakukannya sebelum ini.”

Penerimaan Hamas terhadap cadangan itu dibuat ketika Netanyahu berdepan tekanan semakin hebat di dalam dan luar negara supaya menamatkan perang.

Pada Ahad lalu, puluhan ribu orang berhimpun di Tel Aviv menuntut penamatan perang dan perjanjian pembebasan baki tahanan.- AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN