MADRID, 19 Ogos - Kebakaran hutan yang marak memusnahkan tambahan 30,000 hektar tanah di barat Sepanyol dalam tempoh kurang 24 jam, menurut data satelit pada Selasa, namun suhu lebih sejuk menimbulkan harapan ia dapat dikawal.
Setakat pukul 7 pagi Selasa, kira-kira 373,000 hektar sudah musnah akibat kebakaran di seluruh Sepanyol tahun ini, menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah.
Angka itu menjadikan musim kebakaran kali ini yang terburuk sejak rekod bermula pada 2006, mengatasi tahun 2022 apabila 306,000 hektar musnah dijilat api.
Sebahagian besar kemusnahan berpunca daripada kebakaran besar yang telah marak lebih seminggu di wilayah barat laut Zamora dan Leon, wilayah Ourense di Galicia, serta Caceres di wilayah Extremadura.
Pihak berkuasa memindahkan ribuan penduduk dari puluhan kampung, sementara beberapa laluan utama ditutup dan perkhidmatan kereta api antara Madrid dan Galicia digantung.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, dijadual melawat kawasan terjejas di Zamora dan Caceres pada Selasa.
Walaupun pihak berkuasa memberi amaran kebakaran masih jauh daripada padam sepenuhnya, tamatnya gelombang haba selama 16 hari dilihat meningkatkan peluang kawalan.
"Suhu maksimum dilaporkan turun antara 10 hingga 12 darjah Celsius, manakala tahap kelembapan meningkat", kata wakil kerajaan pusat di Castile dan Leon, Nicanor Sen.
“Perubahan ini memudahkan dan memperbaiki keadaan untuk mengawal kebakaran,” katanya kepada penyiar awam TVE.-AFP