fb fb fb fb fb

Puteri Thailand jalani rawatan berterusan stabilkan tekanan darah

Puteri Bajrakitiyabha Mahidol (dua dari kiri) di balkoni Dewan Suddhaisavarya Prasad, Grand Palace, Bangkok pada 6 Mei 2019. Foto- AFP

BANGKOK, 19 Ogos - Puteri sulung Raja Thailand yang sakit tenat di hospital sejak lebih dua tahun lalu sedang menerima rawatan berterusan bagi menstabilkan tekanan darah selepas mengalami jangkitan teruk.

Biro Diraja Thailand dalam kenyataan terbaharu memaklumkan, pasukan perubatan kini memantau rapi keadaan kesihatan Puteri Bajrakitiyabha Mahidol.

“Doktor sedang memberikan ubat bagi menstabilkan tekanan darah, di samping menggunakan peralatan perubatan dan antibiotik untuk menyokong fungsi buah pinggang serta pernafasan,” menurut kenyataan itu.

Puteri Bajrakitiyabha, 46, yang dikenali di Thailand sebagai “Princess Bha”, merupakan anak sulung Raja Maha Vajiralongkorn dan satu-satunya anak daripada perkahwinan pertama baginda.

Puteri Bajrakitiyabha jatuh sakit akibat masalah jantung pada Disember 2022 ketika menghadiri sesi latihan anjing dan sejak itu tidak sedarkan diri.

Biro Diraja pada Jumaat lalu mengeluarkan kenyataan pertama selepas lebih dua tahun, memaklumkan puteri berkenaan mengalami jangkitan darah yang serius.

Bajrakitiyabha mendapat pendidikan di Britain, Amerika Syarikat dan Thailand serta pernah memegang pelbagai jawatan di Pertubuhan Bangsa Bersatu selain memperjuangkan hak wanita dalam penjara.

Baginda rapat dengan ayahandanya dan dilantik ke jawatan kanan dalam pasukan pengawal peribadi raja setahun sebelum dimasukkan ke hospital.

Raja Thailand berusia 73 tahun itu mempunyai tujuh anak hasil empat perkahwinan, namun masih belum menamakan pewaris takhta, meskipun peraturan pewarisan lebih memihak kepada lelaki.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN