fb fb fb fb fb

Australia kritik Israel selepas visa diplomat dibatalkan

Menteri Luar Australia, Penny Wong (kiri) mendengar Perdana Menteri Anthony Albanese ketika sidang media di Canberra, 11 Ogos 2025. Albanese mengumumkan Australia akan mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung PBB September depan. Foto- AFP

CANBERRA, 19 Ogos - Menteri Luar Australia mengkritik tindakan Israel yang membatalkan visa diplomat Canberra ke Pihak Berkuasa Palestin.

Langkah balas Israel itu dibuat selepas Australia pada Isnin menyekat kemasukan seorang ahli politik sayap kanan Israel ke negara itu sebelum lawatan siri ceramahnya.

Ketegangan hubungan Australia dan Israel semakin memuncak sejak Canberra mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada September depan.

Menteri Luar Australia, Penny Wong, menyifatkan tindakan Israel membatalkan visa diplomat sebagai reaksi yang tidak berasas.

“Pada ketika dialog dan diplomasi sangat diperlukan, pentadbiran Netanyahu mengasingkan Israel dan menjejaskan usaha antarabangsa ke arah keamanan serta penyelesaian konflik di Gaza,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula membalas dengan mengecam rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese, sebagai “ahli politik lemah yang mengkhianati Israel dan meninggalkan masyarakat Yahudi di Australia.”

Kerajaan Australia pada Isnin membatalkan visa ahli politik sayap kanan Israel, Simcha Rothman, yang partinya berada dalam gabungan pentadbiran Netanyahu.

Rothman dijadual menghadiri acara anjuran Persatuan Yahudi Australia.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN