fb fb fb fb fb

Perang Ukraine mungkin berlarutan: NATO

(Kelihatan asap berkepul berikutan serangan tembakan baru-baru ini semasa konflik Ukraine-Rusia di Donetsk, Ukraine 18 Jun 2022/FOTO REUTERS)

KIEV, 19 Jun: Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hari ini berkata, perang di Ukraine boleh berlarutan bertahun-tahun dan tentera Ukraine berdepan serangan Rusia yang lebih sengit selepas eksekutif Kesatuan Eropah (EU) mengesyorkan Kiev harus diberikan status calon untuk menyertai blok itu.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, berkata bekalan senjata canggih kepada tentera Ukraine akan meningkatkan peluang membebaskan wilayah timur Donbas daripada kawalan Rusia.

"Kita mesti bersedia dengan hakikat bahawa ia boleh mengambil masa bertahun-tahun. Kita tidak boleh berputus asa dalam menyokong Ukraine," katanya.

"Walaupun kosnya tinggi, bukan sahaja untuk sokongan ketenteraan, juga kerana kenaikan harga tenaga dan makanan."katanya dipetik oleh akhbar Bild am Sonntag Jerman.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, yang melawat Kyiv Jumaat lalu, membuat komen yang sama mengenai keperluan untuk bersiap sedia untuk perang yang panjang dalam op-ed untuk akhbar Sunday Times London.

Bercakap kepada pemberita semalam, beliau menekankan keperluan untuk mengelakkan "keletihan Ukraine" dan dengan tentera Russia "bergerak ke hadapan inci demi inci", untuk sekutu menunjukkan kepada Ukraine mereka berada di sana bagi menyokong mereka untuk masa yang lama.

(Pandangan menunjukkan depoh trem musnah akibat serangan peluru berpandu Russia, ketika serangan
Rusia ke atas Ukraine berterusan, di Kharkiv, Ukraine/ FOTO REUTERS)

Dalam op-ed, beliau berkata ini bermakna memastikan "Ukraine menerima senjata, peralatan, peluru dan latihan lebih cepat daripada penceroboh."

"Masa adalah faktor penting," kata Johnson.

"Segala-galanya akan bergantung kepada sama ada Ukraine boleh mengukuhkan keupayaannya untuk mempertahankan tanahnya lebih cepat berbanding Rusia boleh memperbaharui keupayaannya untuk menyerang."

Jumaat lalu, Ukraine menerima rangsangan yang ketara apabila Suruhanjaya Eropah mengesyorkan supaya ia diberikan status calon Kesatuan Eropah (EU).

Ia sesuatu yang dijangka akan disokong oleh negara EU pada sidang kemuncak minggu ini.

Ia akan meletakkan Ukraine di landasan untuk merealisasikan aspirasi yang dilihat tidak dapat dicapai sebelum pencerobohan pada 24 Februari oleh Rusia, walaupun keahlian sebenar boleh mengambil masa selama bertahun-tahun. -REUTERS

Media Baharu