GENEVA, 13 Februari-Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa berkata mereka kini sedang berusaha untuk mengesan hampir 50,000 individu yang telah hilang dalam tempoh tiga tahun sejak perang Rusia-Ukraine bermula.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) juga memaklumkan bahawa mereka telah menerima notifikasi mengenai kira-kira 16,000 tawanan perang serta orang awam yang telah ditahan oleh kedua-dua pihak.
ICRC menubuhkan biro khas di bawah Agensi Pengesanan Pusat (CTA) selepas Rusia melancarkan serangan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Biro tersebut bertanggungjawab mencari individu yang hilang di kedua-dua belah pihak dalam konflik tersebut.
"Sejak Februari 2024, jumlah kes individu yang hilang telah meningkat lebih dua kali ganda, dan kini mencecah hampir 50,000," kata Ketua Biro CTA, Dusan Vujasanin kepada wartawan di Geneva.
Vujasanin turut memaklumkan bahawa majoriti individu yang hilang adalah merupakan anggota tentera.
Pada 2024, biro itu melaporkan sedang mencari sekitar 23,000 individu yang hilang akibat peperangan dan berusaha menentukan sama ada mereka telah ditawan, terbunuh, atau kehilangan hubungan selepas melarikan diri dari rumah mereka.
Menurut Vujasanin, objektif utama biro itu adalah "untuk mengelakkan kehilangan individu, mencari mereka yang hilang dan memaklumkan kepada keluarga mereka secepat mungkin."
Setakat ini, pihak berkuasa di kedua-dua belah pihak telah memaklumkan kepada biro tersebut bahawa mereka telah menahan sekitar 16,000 tawanan perang serta orang awam sejak permulaan konflik berskala penuh.
"Angka ini tidak bermakna jumlah tawanan perang yang masih ditahan sekarang," kata Vujasanin, sambil menjelaskan bahawa beberapa ribu tawanan telah dibebaskan sejak perang bermula.
Biro CTA turut bertindak sebagai perantara antara kedua-dua pihak yang bertelagah dalam mendapatkan maklumat mengenai individu yang hilang, selain turut terlibat secara aktif dalam usaha pencarian.
Vujasanin menekankan bahawa jaringan Palang Merah global sedang bekerjasama bagi membantu mencari individu yang hilang.
"Hari ini, lebih daripada 80 Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Nasional serta delegasi ICRC di seluruh dunia bekerjasama untuk menyokong keluarga yang mencari orang tersayang yang hilang akibat konflik bersenjata Rusia-Ukraine dan memberikan jawapan secepat mungkin," katanya.-AFP.