fb fb fb fb fb

Denmark umum tambah dana UNRWA

Wanita Palestin duduk berhampiran beg tepung yang diedarkan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), di tengah-tengah konflik yang berterusan antara Israel dan Hamas, di Rafah di selatan Gaza / Foto REUTERS

COPENHAGEN, 13 Februari-Kerajaan Denmark pada mengumumkan tambahan dana sebanyak 10.2 juta krone atau (AS$1.4 juta) kepada agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), yang dilarang beroperasi di Israel.

Denmark akan menyediakan sumbangan baharu sebanyak 10.2 juta krone untuk memperkukuh ketelusan UNRWA dan proses pembaharuan dalaman," menurut satu kenyataan.

Israel meluluskan peraturan yang melarang agensi itu beroperasi di wilayah Israel mulai 30 Januari selepas menuduh UNRWA melindungi pejuang Hamas.

Banyak negara penderma menghentikan dana kepada UNRWA susulan tuduhan tersebut, meskipun hampir kesemuanya telah menyambung semula pembiayaan mereka.

PBB menyatakan bahawa UNRWA akan terus beroperasi di semua wilayah Palestin.

"Sokongan tambahan Denmark ini adalah isyarat jelas bahawa kami berdiri di belakang UNRWA. Dan kami menyokong tumpuan organisasi ini dalam pembaharuan dalaman dan ketelusan," kata Menteri Luar Denmark Lars Lokke Rasmussen dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyatakan kebimbangannya terhadap undang-undang Israel yang melarang UNRWA.

Denmark juga mengumumkan bahawa keseluruhan sumbangan tahunan sebanyak 105 juta krone akan disalurkan serta-merta dan tidak secara berperingkat sepanjang tahun.

UNRWA telah menyediakan bantuan kepada pelarian Palestin di seluruh Asia Barat selama lebih 70 tahun tetapi sering berselisih faham dengan pegawai Israel, yang berulang kali menuduh organisasi berkenaan menjejaskan keselamatan negara itu.

Israel mendakwa bahawa terdapat segelintir kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan Hamas pada tahun 2023, dan menegaskan bahawa agensi lain boleh mengambil alih untuk menyediakan perkhidmatan asas, bantuan, dan usaha pembinaan semula,sesuatu yang dipertikaikan oleh PBB dan banyak kerajaan penderma.

Siri siasatan, termasuk satu kes yang diketuai oleh bekas Menteri Luar Perancis Catherine Colonna, menemui beberapa "isu berkaitan ketelusan" dalam UNRWA tetapi menegaskan bahawa Israel belum memberikan bukti kukuh terhadap dakwaan utamanya.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD