SEOUL, 13 Februari-Korea Selatan pada Khamis mengumumkan langkah keselamatan penerbangan ketat susulan insiden kebakaran dalam pesawat Air Busan bulan lalu, dengan peraturan baharu termasuk had bilangan dan jenis bateri mudah alih yang dibenarkan dalam penerbangan negara itu.
Langkah tersebuat akan berkuat kuasa pada 1 Mac bagi syarikat penerbangan Korea Selatan.
Di bawah peraturan keselamatan baharu itu,penumpang hanya dibenarkan membawa maksimum lima bateri mudah alih dengan kapasiti 100 watt-jam setiap satu, bateri melebihi 160 watt-jam tidak akan dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat dan pemeriksaan keselamatan akan merangkumi pemeriksaan jumlah dan jenis bateri, serta larangan mengecas bateri mudah alih dalam pesawat.
Menurut Kementerian Pengangkutan Korea Selatan, larangan itu termasuk menyimpan power bank dan rokok elektronik dalam bagasi yang diletakkan di ruang simpanan atas kepala dalam kabin.
Keputusan itu diambil bagi menangani kebimbangan terhadap risiko kebakaran akibat bateri mudah alih, kata kementerian itu.
Namun, punca sebenar kebakaran dalam pesawat Air Busan masih dalam siasatan.
Menurut syarikat penerbangan itu, kebakaran pertama kali dikesan oleh seorang pramugari dalam ruang bagasi di bahagian kiri belakang pesawat. Bagaimanapun, semua penumpang dan anak kapal berjaya dipindahkan dengan selamat.
Piawaian penerbangan global menetapkan bahawa bateri tidak boleh diletakkan dalam bagasi daftar masuk, kerana ia berisiko menyebabkan kebakaran besar jika berlaku litar pintas akibat kerosakan atau kecacatan pembuatan.
Terdahulu, Pada 28 Januari lalu, sebuah pesawat Air Busan model Airbus A321 mengalami kebakaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, Korea Selatan, ketika bersiap untuk berlepas ke Hong Kong.
Kebakaran tersebut bermula di bahagian belakang pesawat, dengan asap dan api dilaporkan keluar dari kompartmen bagasi atas.
Kesemua 176 penumpang dan anak kapal berjaya dipindahkan dengan selamat, walaupun terdapat laporan awal mengenai beberapa kecederaan ringan.-REUTERS.