fb fb fb fb fb

Alibaba bekal teknologi AI untuk iPhone di China

Seorang hadirin memegang dua iPhone 16 ketika Apple mengadakan acara di Teater Steve Jobs di kampusnya di Cupertino, California, AS / Foto REUTERS

DUBAI, 13 Februari-Pengerusi Alibaba mengumumkan bahawa gergasi internet China itu akan membekalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong operasi iPhone Apple di negara "Tembok besar' tersebut.

Apple mengalami kemerosotan dalam jualan iPhone di China dan kehilangan statusnya sebagai jenama telefon pintar terlaris di negara itu kepada dua pesaing tempatan tahun lalu.

Laporan mengenai kerjasama antara Alibaba dan Apple menyebabkan harga saham firma China itu melonjak minggu ini.

Pengerusi Alibaba, Joseph Tsai, mengesahkan bahawa syarikat berpangkalan di California itu akan "menggunakan AI syarikat tersebut untuk menggerakkan telefon berkenaan".

"Disebabkan isu kawal selia dan perkara berkaitan, Apple perlu bekerjasama dengan syarikat China yang membangunkan AI," kata Tsai di Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia di Dubai.

"Apple sangat selektif. Mereka berbincang dengan beberapa syarikat di China dan akhirnya memilih untuk bekerjasama dengan kami," tambahnya.

"Kami sangat bertuah dan berasa amat terhormat dapat bekerjasama dengan syarikat hebat seperti Apple", jelasnya.

Saham Alibaba meningkat lebih sembilan peratus di New York pada Khamis tetapi kehilangan sebahagian besar keuntungannya selepas kenyataan Tsai itu.

Apple menguasai 15 peratus pasaran telefon pintar China tahun lalu, di belakang Vivo (17 peratus) dan Huawei (16 peratus), menurut laporan daripada penyedia data industri Canalys.

Dua jenama tempatan lain, Oppo dan Honor, masing-masing mencatatkan pegangan pasaran sebanyak 15 peratus.

China bercita-cita menjadi peneraju global dalam AI menjelang akhir dekad ini, dan beberapa syarikat China sudah mencipta impak dalam sektor tersebut.

Bulan lalu, syarikat China DeepSeek mencuri tumpuan apabila memperkenalkan chatbot AI yang mampu menyaingi pesaing Amerika pada kos yang jauh lebih rendah.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD