fb fb fb fb fb

Perang perdagangan: China kecam negara-negara yang buat perjanjian dengan AS

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump / Foto AFP

BEIJING, 21 April-China mengecam negara-negara lain yang membuat perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) atas kepentingan Beijing dan berikrar untuk mengambil tindakan balas terhadap mereka yang didakwa “berlembut” dengan Washington dalam perang tarif yang semakin memuncak.

Seiring dengan perang perdagangan penuh yang dilancarkan Washington terhadap China, beberapa negara kini sedang mengadakan rundingan dengan AS untuk mengurangkan tarif.

Menteri kewangan dan perdagangan Korea Selatan dijadualkan mengadakan rundingan peringkat tinggi di Washington minggu ini, menurut kenyataan Seoul.

Gergasi elektronik Korea Selatan seperti Samsung dan pengeluar kenderaan Hyundai dijangka terkesan sekiranya tarif AS diteruskan.

Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, berkata bahawa rundingan antara Jepun dan Amerika Syarikat boleh menjadi "model untuk dunia", selepas utusan tarif Tokyo, Ryosei Akazawa, bertemu Presiden Donald Trump di Washington minggu lalu.

"Fakta bahawa Presiden Trump sendiri tampil untuk berunding menunjukkan beliau menganggap rundingan dengan Jepun sebagai penting," kata Ishiba di parlimen Jepun pada Isnin.

"Jepun adalah sekutu serta pelabur dan pencipta peluang pekerjaan terbesar di AS," tambah beliau.

Ishiba turut menegaskan bahawa walaupun rundingan akan diteruskan, kualiti perjanjian lebih penting berbanding kecepatan proses.

Beliau berkata, "Mereka (AS) tidak tergesa-gesa dan kami juga percaya bahawa terburu-buru hanya akan membawa padah.

Yang penting ialah betapa substansif rundingan tersebut."

Media tempatan Negara Matahari Terbit itu melaporkan bahawa sebagai rakan sekutu kepada Trump, Jepun mungkin bersetuju meningkatkan import kacang soya dan beras AS atau melonggarkan piawaian keselamatan kenderaan.

Namun Ishiba menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan soal keselamatan.

Dalam pada itu, Naib Presiden AS, JD Vance, turut tiba di India pada Isnin bagi lawatan rasmi empat hari dalam usaha mengukuhkan perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara.

Pada hari yang sama, Beijing memberi amaran kepada negara-negara lain agar tidak mencapai perjanjian dengan AS yang boleh menjejaskan kepentingan China.

"Pemujukan tidak akan membawa keamanan, dan kompromi tidak akan dihormati," kata jurucakap Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu menegaskan bahawa China menentang keras mana-mana pihak yang mencapai perjanjian dengan mengorbankan kepentingan China. Jika situasi itu berlaku, katanya, China akan mengambil tindakan balas setimpal.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD