fb fb fb fb fb

Perancis sedia iktiraf negara Palestin seawal Jun

Presiden Perancis, Emmanuel Macron sedia mengiktiraf negara Palestin selewat-lewatnya Jun ini/Foto AFP

RAMALLAH, 9 April – Hasrat Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk mengiktiraf negara Palestin selewat-lewatnya Jun ini disambut baik oleh Palestin yang menganggap langkah itu sebagai sinar harapan buat masa depan rakyat mereka.

Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja dianggap tepat pada masanya, malah memberi makna besar dalam memperjuangkan hak Palestin serta penyelesaian konflik secara aman.

“Jika Perancis benar-benar mengiktiraf negara Palestin, ia adalah satu langkah ke arah yang betul untuk mempertahankan hak rakyat Palestin dan menjayakan penyelesaian dua negara yang sudah lama diusahakan,” katanya kepada AFP.

Pengumuman Macron itu sekali gus memperlihatkan kesungguhan Paris untuk tampil lebih tegas dalam usaha menghentikan keganasan di bumi Palestin serta menyokong aspirasi rakyat negara itu untuk memiliki tanah air sendiri.

Sebelum ini, Macron dilaporkan berkata, Perancis sedang dalam perancangan untuk mengiktiraf negara Palestin selewat-lewatnya Jun ini sebagai langkah menyokong penyelesaian damai antara Palestin dan Israel. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN