fb fb fb fb fb

Hamas enggan dedah identiti pemimpin baharu utama

Penganalisis politik percaya jawatan itu kini dipegang oleh adik Yahya Sinwar, iaitu Mohammed Sinwar

PARIS, 10 April -Pejuang Hamas kini melantik barisan kepimpinan baharu selepas ramai pemimpin utamanya terbunuh dalam serangan Israel.

Bagaimanapun, Hamas memilih untuk merahsiakan identiti mereka bagi mengelak terus menjadi sasaran.

Menurut sumber terdekat Hamas, strategi ini diambil selepas Israel membunuh beberapa pemimpin utamanya termasuk Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh; Ketua Sayap Ketenteraan, Mohammed Deif; dan perancang utama serangan 7 Oktober, Yahya Sinwar.

"Kami tidak akan dedahkan nama ketua baru Ezzedine al-Qassam Brigades," kata sumber itu.

Namun, penganalisis politik percaya jawatan itu kini dipegang oleh adik Yahya Sinwar, iaitu Mohammed Sinwar, yang pernah mengetuai operasi pengurusan tebusan di Gaza sejak 2023.

Menurut Pensyarah Sosiologi Politik di INALCO Paris, Laetitia Bucaille, hubungan darah dengan Yahya Sinwar serta pengalaman luas dalam briged Hamas memberi kelebihan kepada Mohammed Sinwar untuk memimpin.

Sementara itu, Pengasas Agensi Berita Safa di Gaza, Yasser Abu Heen berkata, kehilangan ramai pemimpin utama hanya memberi kesan sementara kepada Hamas.

“Hamas ada cara tersendiri mentadbir organisasi mereka. Walaupun Israel berjaya membunuh beberapa pemimpin, tetapi untuk menghapuskan Hamas secara keseluruhan bukan perkara mudah,” katanya.

Dalam masa sama, Hamas dikatakan menguruskan organisasi secara kolektif menerusi undian Majlis Shura, seakan-akan parlimen dalaman mereka.

Penganalisis dari Arab Centre for Research and Political Studies di Paris, Leila Seurat berkata, Hamas kini lebih berhati-hati dan memilih untuk tidak terlalu menonjolkan individu tertentu sebagai pemimpin utama. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN