fb fb fb fb fb

Jepun adakan upacara memperingati 80 tahun pengeboman Hiroshima

Foto AFP

HIROSHIMA, 6 Ogos – Jepun mengadakan upacara memperingati ulang tahun ke-80 pengeboman atom oleh Amerika Syarikat ke atas bandar Hiroshima.

Kira-kira 55,000 individu, termasuk tetamu antarabangsa dari 120 negara dan wilayah, bertafakur selama seminit tepat pukul 8.15 pagi (2315 GMT), iaitu waktu sebenar bom uranium itu digugurkan ke atas Hiroshima oleh tentera Amerika Syarikat 80 tahun lalu, bagi memperingati ribuan mangsa yang terkorban.

Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, meletakkan kalungan bunga di tugu peringatan sebelum menyeru semua negara supaya memperhebat usaha ke arah pelucutan senjata nuklear secara global.

Bom uranium tersebut mengorbankan kira-kira 78,000 nyawa serta-merta dan menjelang akhir tahun 1945, jumlah kematian akibat kesan radiasi meningkat kepada sekitar 140,000 orang.

Amerika Syarikat turut menjatuhkan bom atom kedua ke atas Nagasaki pada 9 Ogos tahun yang sama.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN