fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di selatan Perancis, 11,000 hektar kawasan musnah

Foto AFP

LAGRASSE, 6 Ogos – Kebakaran hutan di selatan Perancis dilaporkan perlahan menjelang pagi Rabu, selepas mencederakan sembilan orang dan memusnahkan 11,000 hektar kawasan tumbuh-tumbuhan, menurut pegawai tempatan.

Kebakaran yang bermula pada petang Selasa itu masih mengancam beberapa kampung di wilayah Aude, dengan 1,500 anggota bomba sedang bertungkus-lumus berusaha memadamkan api.

Setiausaha Agung Wilayah Aude, Lucie Roesch berkata pihak berkuasa sedang memantau lokasi kebakaran bagi mengelakkan api kembali marak.

"Api kini merebak di kawasan yang mempunyai semua faktor yang menyumbang kepada penyebarannya", katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan bomba dijangka menerima bantuan udara pada waktu subuh dan memberi amaran bahawa kebakaran itu dijangka berlarutan selama beberapa hari dan memerlukan operasi berskala besar.

Tambahnya, api menjadi perlahan sepanjang malam disebabkan oleh tahap kelembapan yang tinggi.

Menurut beliau, seorang mangsa mengalami cedera parah, seorang lagi cedera, manakala tujuh anggota bomba turut mengalami kecederaan ketika memadamkan api.

Beberapa kawasan perkhemahan dan sebuah kampung telah dipindahkan sebahagiannya, manakala beberapa laluan jalan raya tempatan ditutup sebagai langkah keselamatan.

Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam kenyataan di platform X, memaklumkan bahawa semua sumber negara telah digerakkan bagi menangani kebakaran tersebut, sambil menyeru orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga.

Wilayah Aude mencatat peningkatan kawasan terbakar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang diburukkan lagi oleh kadar hujan yang rendah serta pengurangan kawasan ladang anggur yang sebelum ini berperanan sebagai penghalang semula jadi kepada kebakaran hutan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN