fb fb fb fb fb

Perancis pindahkan rakyat dan kakitangan diplomatiknya dari Sudan

(FOTO AFP)

PARIS, 23 April - Perancis telah mula memindahkan rakyat dan kakitangan diplomatiknya dari Sudan, di mana pertempuran antara tentera telah memasuki minggu kedua, menurut Kementerian Luar.

Kementerian itu berkata ia telah memulakan 'operasi pemindahan pantas' dan warga Eropah serta mereka dari 'negara rakan sekutu' juga akan dibantu, jelasnya tanpa memberikan butiran lanjut.

Sumber diplomatik, yang tidak mahu namanya disiarkan, memberitahu AFP bahawa angkatan bersenjata Sudan dan saingan mereka, kumpulan paramilitari Pasukan Sokongan Rapid (RSF), telah 'memberi jaminan keselamatan' untuk membenarkan operasi itu.

Sumber yang sama berkata terdapat kira-kira 250 warga Perancis yang tinggal di Sudan.

Tentera Amerika Syarikat (AS) juga telah mula memindahkan kakitangan kedutaan dari Khartoum, kata Presiden Joe Biden pada Sabtu ketika beliau menyeru untuk menamatkan keganasan 'tidak wajar' tersebut.


(Orang awam mula dipindahkan berikutan perang yang melanda Sudan/AFP) 

Pertempuran antara ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo bagi Pasukan Sokongan Pantas (RSF) bermula pada 15 April lalu berhubung pertikaian mengenai rancangan integrasi RSF ke dalam tentera biasa.

Tindakan tersebut merupakan syarat utama bagi perjanjian yang bertujuan memulihkan peralihan demokrasi Sudan selepas tentera menggulingkan bekas pemimpin, Omar al-Bashir pada bulan April 2019 berikutan bantahan rakyat secara besar-besaran.

Kedua-duanya telah bergabung untuk menggulingkan kerajaan yang ditabalkan selepas kejatuhan Bashir, sebelum berpaling tadah antara satu sama lain.

Keganasan itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 420 orang maut dan 3,700 cedera, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. -AFP

Media Baharu