ISLAMABAD, 6 Oktober- Islamabad dikenakan kawalan ketat oleh pasukan keselamatan, termasuk pemotongan internet mudah alih, susulan protes penyokong bekas Perdana Menteri Imran Khan yang cuba menguasai bandar itu untuk mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran.
Penyokong parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang bertindak memasuki Islamabad berdepan sekatan jalan raya dan gas pemedih mata.
Sejak jumaat lalu, aktivis PTI mula menuju ke Islamabad dari markasnya di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa, namun pihak berkuasa berusaha menghalang mereka menyekat jalan dengan menggunakan kontena penghantaran dan gas pemedih mata.
Protes juga berlaku di Lahore, namun lebuh raya utama yang menghubungkan bandar besar timur ke ibu negara telah disekat.
Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi berkata lebih 550 orang telah ditangkap.
"Saya sangat berbangga dengan anda semua", kata mesej daripada Khan yang disiarkan di laman sosial X pada petang Sabtu.
"Anda menunjukkan ketabahan dan keberanian yang tidak berbelah bahagi ketika anda keluar semalam dan mengatasi halangan yang sukar dipercayai.
Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International berkata pemotongan komunikasi dan sekatan jalan raya mencabuli hak rakyat untuk kebebasan bersuara, akses kepada maklumat, perhimpunan aman.
“Sekatan ini adalah sebahagian daripada tindakan tegas yang membimbangkan terhadap hak untuk membantah di Pakistan,” kata kumpulan itu.
Laman media sosial X juga disekat di seluruh Pakistan sejak selepas pilihan raya, apabila internet mudah alih turut dipotong pada hari pengundian dan PTI mendakwa berlakunya manipulasi undi berlaku secara berleluasa.
Khan yang berusia 72 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri Pakistan dari 2018 hingga 2022 telah digulingkan dalam undi tidak percaya parlimen selepas mengalami konflik dengan pertubuhan tentera yang berkuasa yang dianggap sebagai penggubal dasar politik Pakistan.-AFP