fb fb fb fb fb

Penyingkiran Assad, peluang lembaran baharu untuk Syria- HRW

Foto AFP

BEIRUT,12 Disember- Penyingkiran Presiden Bashar al-Assad merupakan peluang untuk Syria memulakan lembaran baru, selepas beberapa dekad pemerintahan zalim dan menjadi contoh dalam isu hak asasi manusia.

Human Rights Watch (HRW) menerusi kenyataan berkata masa depan yang lebih baik untuk Syria memerlukan usaha bagi menangani pelanggaran hak asasi manusia, termasuk melindungi rakyat Syria tanpa mengira latar belakang etnik, agama atau fahaman politik.

Pertubuhan itu juga menekankan bahawa kumpulan penentang kerajaan yang terlibat dalam serangan bertanggungjawab atas pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah perang.

Ia juga menggesa kepimpinan Syria untuk memanfaatkan peluang yang belum pernah berlaku ini untuk menjadi contoh dalam isu hak asasi manusia.

"Ini adalah saat penting untuk menolak penderitaan masa lalu," kata Pengarah HRW Asia Barat, Lama Fakih.

Kumpulan itu juga menggesa Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan pihak lain agar mempertimbangkan untuk menarik balik beberapa sekatan yang memberi kesan negatif terhadap operasi kemanusiaan di Syria.

HRW turut mengingatkan negara-negara yang menerima sebilangan besar pelarian Syria agar tidak tergesa-gesa mengusir atau memaksa mereka pulang.

Austria telah mengumumkan hasrat untuk menghantar pulang pelarian yang melarikan diri dari perang saudara Syria, manakala beberapa negara lain telah membekukan permohonan suaka.

"Mengusir pelarian secara paksa atau memberi tekanan kepada mereka untuk pulang pada saat ini akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan," kata HRW.

Lebih 50 tahun pemerintahan keluarga Assad telah berakhir, selepas serangan mengejut penentang kerajaan menguasai Syria dan menawan ibu kota Damsyik, minggu lalu.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan di Barat mengenai layanan pemerintah baharu Syria terhadap pelbagai kumpulan agama dan etnik minoriti di negara itu.

Perdana Menteri sementara, Mohammad al-Bashir, cuba meredakan kebimbangan itu dengan memberi jaminan hak semua rakyat dan mazhab di Syria.

Perang saudara Syria, yang bermula pada 2011 selepas kerajaan Assad menindas secara kejam protes prodemokrasi, telah mengorbankan 500,000 orang dan memaksa separuh daripada penduduk negara itu meninggalkan kediaman mereka.-AFP

ROSLINA BINTI DIN