fb fb fb fb fb

Israel mulakan pengunduran pertama tentera di Lubnan - AS

Kenderaan UNIFIL melakukan rondaan di kawasan selatan Marjayoun, sempadan Israel/ AFP

WASHINGTON, 12 Disember- Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan tentera Israel melakukan pengunduran pertama dari sebuah bandar di selatan Lubnan dan digantikan oleh tentera Lubnan menerusi perjanjian gencatan senjata, semalam.

Ketua CENTCOM Jeneral Erik Kurilla berkata pengunduran Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan menggantikan Angkatan Bersenjata Lubnan di Al-Khiam, Lubnan, sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

"Ini adalah langkah pertama yang penting dalam menamatkan permusuhan yang berterusan dan meletakkan asas untuk mencapai kemajuan," kata Kurilla dalam kenyataan.

Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati berkata bahawa penempatan tentera di kawasan Khiam dan Marjayoun hari ini merupakan langkah asas ke arah mengukuhkan kehadiran tentera di selatan, sebagai pelaksanaan keputusan gencatan senjata.

"Kami menghargai usaha tentera ke arah mewujudkan kestabilan di selatan", kata Mikati dalam catatannya menerusi X.

Sementara itu, tentera Israel mengumumkan bahawa Briged ke-7 pasukan itu telah memuktamadkan misi di Khiam, selatan Lubnan.

“Selaras dengan perjanjian gencatan senjata dan penyelarasan Amerika Syarikat, Angkatan Bersenjata Lubnan sedang dikerahkan di kawasan itu bersama-sama dengan UNIFIL, misi pengaman PBB di kawasan itu", menurut kenyataan Israel.

Pentagon menyatakan bahawa Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin telah berkomunikasi dengan rakan sejawatannya dari Israel, Israel Katz dan memaklumkan bahawa Amerika Syarikat sedang bekerjasama dengan rakan sekutunya untuk menyokong gencatan senjata.

Austin menegaskan bahawa gencatan senjata mempunyai potensi untuk mewujudkan keadaan bagi memulihkan keamanan yang berpanjangan dan membolehkan penduduk di kedua-dua sempadan Israel-Lubnan pulang ke rumah mereka dengan selamat," menurut kenyataan Amerika Syarikat.

Israel meningkatkan operasi ketenteraannya di selatan Lubnan pada akhir September, selepas hampir setahun pergolakan rentas sempadan dengan pejuang Hizbullah.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 27 November dan secara amnya dipatuhi, walaupun kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian itu secara berulang.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, tentera Lubnan dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu akan ditempatkan di selatan Lubnan apabila tentera Israel berundur dalam tempoh 60 hari.

Hizbullah juga dijangka akan mengundurkan tenteranya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer (20 batu) dari sempadan, dan merobohkan infrastruktur ketenteraannya di selatan Lubnan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN