CHEONGJU, 16 Julai - Mayat lapan individu yang terperangkap dalam terowong susulan hujan lebat di tengah Korea Selatan ditemui, kata pihak berkuasa dan media tempatan.
Ini menjadikan angka kematian akibat hujan lebat yang melanda negara itu meningkat kepada 35 orang.
Ketua Balai Bomba Cheongju barat, Seo Jeong-il, berkata dianggarkan kira-kira 15 kenderaan termasuk sebuah bas tenggelam dalam laluan bawah tanah di bandar itu sejurus selepas tambak sungai berhampiran musnah akibat hujan lebat semalam.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan air berlumpur mengalir masuk ke dalam terowong ketika kenderaan melintas dalam keadaan roda ditenggelami air.
"Kami memberi tumpuan kepada operasi mencari kerana kemungkinan lebih ramai orang berada di dalam terowong itu. Kami berusaha melakukan yang terbaik untuk menyelesaikannya," katanya kepada pemberita.
Menurut agensi berita Korea Selatan, Yonhap, angka kematian membabitkan mangsa yang berada dalam terowong itu berjumlah sembilan orang, termasuk satu mayat yang ditemui semalam.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan berkata, 10 individu hilang di seluruh negara setakat 11 pagi (0200 GMT) ketika hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan banjir dengan arahan pemindahan dikeluarkan kepada 7,866 orang.
Bencana terbaru itu berlaku walaupun sebelum ini Korea Selatan berikrar meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi hujan lebat selepas Seoul dilanda banjir besar tahun lalu akibat hujan lebat terburuk dalam tempoh 115 tahun.-REUTERS