HODEIDA, 16 Julai - Kapal tangki milik Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tiba pada Ahad di pantai Yaman untuk kerja operasi mengepam minyak dari kapal tangki FSO Safer yang ditinggalkan sejak tahun 2015.
Operasi tersebut bagi mengelakkan berlakunya bencana alam sekitar yang besar sekiranya kapal yang dipenuhi lebih sejuta tong minyak itu pecah atau meletup.
Kapal tangki berusia 47 tahun itu telah digunakan sebagai platform bagi penyimpanan minyak terapung, telah berlabuh di pelabuhan Hodeida di barat Yaman di Laut Merah dimana merupakan laluan utama perkapalan.
Terletak kira-kira lapan kilometer (lima batu) dari pantai, Safer membawa minyak empat kali ganda lebih banyak daripada yang tertumpah dalam bencana Exxon Valdez 1989 di Alaska.
Sistem yang diperlukan untuk mengepam gas lengai ke dalam tangkinya telah berhenti berfungsi pada tahun 2017 sekaligus meningkatkan risiko letupan.
PBB dan Greenpeace telah menyifatkan kapal itu sebagai "bom jangka panjang".
Operasi PBB untuk memindahkan minyak dari Safer dan menunda kapal ke kawasan lusuh dianggarkan kira-kira $143 juta.
PBB berkata, ia masih memerlukan tambahan $22 juta untuk menunda Safer ke kawasan kitar semula dan menambat kapal gantian dengan selamat bagi memastikan tempat penyimpanan minyak itu selamat, sehingga tiba ke destinasi akhir.
Sekiranya berlaku tumpahan, PBB menganggarkan kos pembersihan boleh melebihi $20 bilion dan akan memberi kesan kepada alam sekitar, kemanusiaan dan ekonomi.
Percubaan untuk memeriksa kapal yang semakin rosak dan berkarat itu telah berlarutan selama bertahun-tahun, dimana PBB telah meminta untuk mendapatkan akses namun ditolak oleh Houthi yang menguasai sebahagian besar utara Yaman termasuk pelabuhan Hodeida.-AFP