NEW YORK, 1 September- Penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Fatman Scoop meninggal dunia selepas rebah di atas pentas ketika mengadakan persembahan di Town Center Park, Hamden, Connecticut, kelmarin.
Berita kematian artis berusia 53 tahun yang popular dengan lagu 'Be Faithful' dan 'It Takes Scoop' itu disahkan oleh keluarga dan pengurusnya, semalam.
Menurut video kejadian yang diperolehi oleh laman berita selebriti TMZ, kelihatan kakitangan perubatan cuba memberikan CPR ketika dia masih di atas pentas.
Dalam satu hantaran melalui akaun Instagramnya, keluarga Scoop dengan perasaan sedih yang mendalam dan berat hati telah mengumumkan pemergian artis berkenaan.
"Fatman Scoop dikenali dunia sebagai suara kelab yang tidak dipertikaikan. Muziknya membuatkan kami menari dan menerima kehidupan dengan positif," tulis mereka.
Pengurus beliau, Birch Michael, turut mengesahkan kematian Scoop dan menzahirkan penghargaan kepadanya.
"Saya sayang awak Scoop. Terima kasih banyak untuk semua yang anda berikan kepada saya."
Bintang hip-hop, Missy Elliott turut menzahirkan rasa kesedihan atas kehilangan rakannya itu di X.
"Suara dan tenaga Scoop telah menyumbang kepada banyak lagu yang membuatkan orang ramai berasa gembira dan ingin menari selama lebih dua dekad.
"Impak anda sangat besar dan tidak akan dilupakan," katanya.
Hos radio, Shelley Wade pula menyiarkan gambar dirinya dengan Scoop.
"Kami kehilangan terlalu banyak legenda hip-hop kami terlalu cepat. Bertenang, Scoop," ujarnya - REUTERS