JAKARTA, 1 September- Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn akan mengetuai delegasi sulung Sekretariat ASEAN dalam lawatan kerja rasmi ke Chile dari 3 hingga 6 September ini.
Lawatan bersejarah itu akan menjadi detik penting dalam hubungan ASEAN-Chile kerana ia merupakan kali pertama seorang setiausaha agung ASEAN melakukan lawatan rasmi ke negara Amerika Latin.
Menurut Sekretariat ASEAN, lawatan kerja pertama Kao ke Chile menawarkan peluang utama untuk memperkukuh Perkongsian Pembangunan ASEAN-Chile, meningkatkan dialog, kerjasama, dan hubungan ketika mereka meraikan ulang tahun kelima perkongsian itu.
Semasa lawatan kerja itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Menteri Ekonomi, Timbalan Setiausaha Perhubungan Ekonomi Antarabangsa, dan Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi bagi Amerika Latin dan Caribbean (ECLAC).
Beliau juga akan menggunakan peluang itu untuk menyertai sambutan ulang tahun kelima Perkongsian Pembangunan ASEAN-Chile dan Hari ASEAN, bertemu dengan Persekutuan Industri Chile, serta memberi syarahan di Universiti Chile dan ucaptama pada seminar anjuran ECLAC.
Jadual padat Kao termasuk pertemuan dengan Jawatankuasa ASEAN di Santiago bagi mengemas kini mengenai perkembangan terkini ASEAN, membincangkan status semasa dan hala tuju masa depan Perkongsian Pembangunan ASEAN-Chile, serta bertukar-tukar pandangan mengenai cara meningkatkan hubungan ASEAN-Chile- BERNAMA