fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan naikkan bendera Palestin semasa ucapan Netanyahu

Seorang penunjuk perasaan pro-Palestin mengibarkan bendera Palestin di Washington/ REUTERS

WASHINGTON, 25 Julai- Penunjuk perasaan menuntut Amerika Syarikat menghentikan bantuan ketenteraan kepada Israel dengan menaikkan bendera Palestin dan membakar bendera Amerika di luar Stesen Kesatuan Washington dalam tunjuk perasaan menentang lawatan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Rabu.

Polis menggunakan semburan lada ke atas beberapa daripada ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin yang berkumpul di luar Capitol Amerika Syarikat semasa Netanyahu berucap kepada Kongres.

Sejurus sebelum Netanyahu mula berucap, Polis Capitol Amerika Syarikat berkata penunjuk perasaan berarak cuba melepasi sekatan dan tidak berundur.

"Orang ramai gagal mematuhi arahan untuk berundur daripada barisan polis kami. Kami mengarahkan penyembur lada ke arah sesiapa sahaja yang cuba melanggar undang-undang dan melepasi garisan itu," kata polis dalam satu kenyataan.

"Kami tidak mengancam (kepada polis)," kata seorang juruteknik farmasi Sarah Bowles yang menghadiri protes dan membantu penunjuk perasaan yang cedera. Salah satu kumpulan yang membantah berkata polis menyerang penunjuk perasaan ketika mereka berarak.

Kumpulan pro-Palestin dan pelajar universiti berbulan-bulan memprotes di Amerika Syarikat terhadap serangan Israel di Gaza.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI