fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan mahu pemenang Hadiah Nobel pimpin kerajaan sementara di Bangladesh

Pemenang Hadiah Nobel, Dr. Muhammad Yunus (tengah)/Foto fail AFP

DHAKA, 6 Ogos - Penunjuk perasaan terdiri daripada golongan pelajar Bangladesh mahu pemenang Hadiah Nobel, Dr. Muhammad Yunus dilantik menjadi memimpin kerajaan sementara.

Tuntutan itu berlaku sehari selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina digulingkan dan tentera mengambil alih kuasa.

"Kami telah memutuskan untuk membentuk kerajaan sementara, dan Dr. Muhammad Yunus, pemenang Hadiah Nobel yang terkenal di peringkat antarabangsa dan dihormati ramai, akan menjadi penasihat utama," kata Nahid Islam, pemimpin utama Mahasiswa Menentang Diskriminasi (SAD).

Yunus, 84, yang kini berada di Eropah merupakan seorang ahli ekonomi yang dihormati atas sumbangan beliau memperkenalkan konsep kewangan mikro dan mikro kredit untuk membantu golongan miskin terutama wanita, dalam mendapatkan pinjaman kecil tanpa cagaran melalui Bank Grameen.

Yunus tidak terlibat secara langsung dalam politik partisan tetapi beliau mempunyai pengaruh besar dalam polisi sosial dan ekonomi melalui sumbangan beliau dalam bidang kewangan mikro.

Beliau pernah mencuba untuk menubuhkan sebuah parti politik pada tahun 2007, namun usaha tersebut tidak berjaya.

Seorang pembantu rapat beliau berkata bahawa Yunus tidak menerima sebarang tawaran daripada tentera untuk memimpin kerajaan sementara - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN