fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan kembali berhimpun di Madagascar

Seorang penunjuk perasaan mengibarkan bendera Madagascar ketika demonstrasi membantah gangguan bekalan air dan elektrik berulang kali di Antananarivo/ Foto AFP

ANTANANARIVO, 27 September – Ratusan penunjuk perasaan, kebanyakannya anak muda kembali berhimpun di ibu negara Madagascar pada Sabtu, beberapa hari selepas demonstrasi antikerajaan bertukar ganas dengan insiden rusuhan dan penjarahan.

Khamis lalu, polis melepaskan peluru getah serta gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai selepas tunjuk perasaan bagi membantah gangguan bekalan air dan elektrik berpanjangan, bertukar menjadi huru-hara menyebabkan kedai dirompak serta bangunan dan kenderaan dibakar.

Penunjuk perasaan termasuk pelajar universiti kembali berkumpul di Antananarivo sambil membawa plakad bertulis slogan seperti “Kami miskin, marah dan tidak gembira” serta “Madagascar milik kami”.

Sebahagian daripada mereka berpakaian hitam dengan wajah ditutup, selain memakai topi jerami berwarna-warni yang kini menjadi simbol penentangan.

Pasukan keselamatan membentuk benteng manusia bagi menghalang penunjuk perasaan mara ke pusat bandar, manakala terdapat laporan bahawa polis kembali menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.

Sumber hospital yang enggan dikenali memaklumkan bahawa lima orang terbunuh dalam kekecohan Khamis lalu, namun tiada pengesahan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa.

Dalam ucapan video lewat Jumaat, Presiden Andry Rajoelina mengumumkan pemecatan menterinya yang bertanggungjawab ke atas sektor tenaga kerana gagal menjalankan tugas, selain mengecam keganasan yang disifatkan sebagai “tindakan destabilisasi”.

Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dalam kenyataan Sabtu menyatakan kebimbangan terhadap “jumlah korban tidak disahkan, kecederaan serta kerosakan besar terhadap harta awam dan persendirian”.

SADC yang dianggotai 16 negara, dan kini dipengerusikan Rajoelina, turut memuji “komitmen teguh kerajaan dalam memulihkan keamanan dan kestabilan”.

Kesatuan Afrika pula menyeru semua pihak agar bertenang, mengelak keganasan dan memilih jalan dialog. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN