fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan Galicia kecam dasar pengurusan kebakaran

Foto AFP

OURENSE, 22 Ogos - Penunjuk perasaan di Galicia, wilayah barat laut Sepanyol, berhimpun di bandar Verin dan Ourense bagi mengecam dasar pencegahan dan pengurusan kebakaran susulan gelombang kebakaran hutan yang melanda barat Sepanyol selama kira-kira 10 hari.

Protes itu berlaku di tengah-tengah perdebatan politik yang semakin hangat di Sepanyol mengenai tanggungjawab pemimpin negara dalam pencegahan, pelaburan, keupayaan tindak balas, dan pengurusan kebakaran yang masih aktif sehingga kini.

Rata-rata penunjuk perasaan meluahkan kebimbangan mereka.

"Saya akan mempertahankan tanah saya kerana ia sedang terbakar. Selama hampir dua minggu kami menyaksikan tanah kami musnah, haiwan, rumah dan orang ramai kehilangan tempat tinggal. Saya rasa mereka telah kehilangan segalanya," kata penunjuk perasaan, Eva Quintas.

"Saya berdemonstrasi demi masa depan anak perempuan saya dan Galicia. Ini gila! Sudah jelas bahawa pemimpin tidak cukup melakukan pencegahan. Kebakaran tidak dipadamkan pada musim panas, tetapi pada musim sejuk," kata penunjuk perasaan, Yago Pérez.

"Saya faham terdapat banyak penyelesaian. Perkara pertama ialah menggunakan peruntukan kewangan yang disediakan untuk tujuan ini, meningkatkan langkah pencegahan, memastikan hutan sentiasa bersih, serta melaksanakan dasar pertanian dan agroforestri yang sesuai.

"Saya faham banyak perkara perlu dilakukan, dan untuk itulah para teknikal wujud," kata penunjuk perasaan, Alejandra Araujo. -AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM