CHICAGO, 12 Oktober – Polis negeri Illinois menahan beberapa penunjuk perasaan selepas mengisytiharkan perhimpunan di luar kemudahan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) di Broadview, Illinois, sebagai perhimpunan haram pada Sabtu.
Menurut laporan tempatan, penunjuk perasaan berkumpul di hadapan premis agensi persekutuan itu sebelum berlaku pergelutan dengan polis yang lengkap berpakaian rusuhan dan bersenjatakan belantan kayu.
Beberapa individu dilaporkan ditahan selepas berlaku tolak menolak dan kekecohan ketika barisan polis mara untuk menyuraikan kumpulan berkenaan.
“Mereka beri amaran bahawa gas pemedih mata akan digunakan,” kata seorang penunjuk perasaan kepada media tempatan.
Pasukan keselamatan kemudiannya berundur apabila kumpulan penunjuk perasaan kembali ke lokasi perhimpunan asal mereka.
Sementara itu, Mahkamah Rayuan Persekutuan pada Sabtu menolak permohonan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk membenarkan penempatan segera tentera Pengawal Kebangsaan ke Illinois, mengekalkan keputusan mahkamah lebih rendah yang menangguhkan sementara langkah tersebut. -REUTERS