fb fb fb fb fb

Lima cedera dalam nahas helikopter di selatan California

Sebuah helikopter terhempas di antara Beach Boulevard dan Twin Dolphin, Huntington Beach, selatan California/ REUTERS

LOS ANGELES, 12 Oktober - Lima orang dilaporkan cedera selepas sebuah helikopter terhempas berhampiran pantai terkenal di selatan California pada Sabtu, menurut pegawai bomba tempatan.

Ketua Batalion Jabatan Bomba Huntington Beach, Matt Kubota berkata pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 2 petang (9 malam waktu tempatan) berhubung nahas helikopter di antara Beach Boulevard dan Twin Dolphin, Huntington Beach.

“Helikopter ditemui berhampiran sebuah jambatan dan lima mangsa telah dihantar ke hospital tempatan untuk menerima rawatan,” katanya. Namun, tahap kecederaan mereka belum dikenal pasti.

Menurut Pengurus Hal Ehwal Awam Huntington Beach, Corbin Carson, helikopter berkenaan terlibat dalam acara kutipan dana tahunan ‘Cars ‘N Copters’ yang dijadual berlangsung pada Ahad.

Polis Huntington Beach memaklumkan bahawa dua mangsa yang cedera berada di dalam helikopter dan berjaya dikeluarkan daripada serpihan pesawat, manakala tiga lagi cedera ketika berada di jalan raya berhampiran lokasi kejadian.

Punca kemalangan masih dalam siasatan. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN