fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan antikerajaan Sri Lanka dalam perbincangan tamatkan rampasan

(Penduduk mengambil kesempatan mengunjungi kediaman rasmi Presiden Gotabaya Rajapaksa
di Colombo pada 11 Julai 2022 selepas dirampas penunjuk perasaan antikerajaan/AFP)

COLOMBO, 14 Julai- Penunjuk perasaaan antikerjaaan Sri Lanka dalam perbincangan untuk menyerahkan semula bangunan rasmi milik kerajaan yang dirampas atau diduduki mereka.

Menurut wakil penunjuk perasaan, langkah itu dibuat meskipun mereka kekal dengan pendirian supaya presiden dan perdana menteri berundur atas sebab gagal menguruskan ekonomi dengan baik.

Hujung minggu lalu, penunjuk perasaan menyerbu istana Presiden Gotabaya Rajapaksa, memaksa pemimpin itu melarikan diri ke Maldives pada Rabu tatkala kumpulan aktivis turut menyerang pejabat Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe.

Beliau yang dinamakan Rajapaksa sebagai pemangku presiden semasa ketiadaannya, telah meminta penunjuk perasaan menyerahkan semula bangunan kerajaan yang dirampas serta mengarahkan pasukan keselamatan melakukan "apa yang perlu untuk memulihkan keadaan".

Seorang sami Buddha terkemuka yang menyokong langkah itu menggesa supaya istana presiden yang berusia lebih 200 tahun itu diserahkan kembali kepada pihak berkuasa dan perlu memastikan seni serta artifak dijaga sebaiknya.

“Bangunan ini adalah khazanah negara yang harus dilindungi," kata sami Omalpe Sobitha kepada pemberita. "Mesti ada audit yang betul dan ia perlu dikembalikan kepada pihak berkuasa."

Ratusan ribu penduduk telah mengunjungi bangunan itu sejak Rajapaksa melarikan diri manakala pengawal keselamatan terpaksa berundur, setelah bangunan dirampas penunjuk perasaan.

“Ada usaha untuk mengembalikan bangunan itu kepada pihak berkuasa,” kata seorang aktivis dalam kempen #GotaGoHome kepada AFP.


(Tentera Sri Lanka berkawal di bangunan parlimen di Colombo pada 14 Julai 2022/AFP)

Dalam ucapan di televisyen selepas ribuan penunjuk perasaan menawan pejabat Perdana Menteri di Colombo, Wickremesinghe berkata, "Mereka yang pergi ke pejabat saya mahu menghalang saya daripada melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemangku presiden.

“Kami tidak boleh membenarkan fasis mengambil alih. Atas sebab itu saya mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah berkurung,” tambahnya. 

Bagaimanapun, perintah berkurung telah ditarik balik pada pagi Khamis, namun polis berkata pada malam seorang askar dan seorang konstabel cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan di luar bangunan parlimen.

Percubaan merampas badan perundangan itu dilihat gagal, tidak seperti di lokasi lain di mana penunjuk perasaan mencapai kejayaan yang agak menakjubkan.

Menurut hospital utama di Colombo, pada Rabu kira-kira 85 orang dimasukkan ke hospital kerana cedera. Seorang lelaki sesak nafas dan meninggal dunia selepas serangan gas pemedih mata di pejabat perdana menteri.

Semalam, Rajapaksa telah berjanji untuk meletak jawatan, namun tiada pengumuman rasmi dibuat oleh pemimpin itu setakat ini.

Ketika ini, beliau dikatakan masih berada di Maldives, dilaporkan sedang menanti jet peribadi untuk membawanya bersama isteri Ioma dan dua pengawal peribadinya ke Singapura.  

Sumber diplomatik memberitahu percubaan Rajapaksa mendapatkan visa ke Amerika Syarikat telah ditolak kerana beliau telah melepaskan kerakyatan Amerika Syarikat pada 2019 sebelum bertanding jawatan presiden. -AFP

Media Baharu