fb fb fb fb fb

Penumpang Singapore Airlines yang dilencongkan tiba di Singapura

Penumpang yang menaiki penerbangan SQ321 dari London, tiba di Lapangan Terbang Changi di Singapura/REUTERS

SINGAPURA, 22 Mei- Lebih 140 penumpang dan anak kapal dari penerbangan Singapore Airlines tiba di Singapura selepas mengalami gelora udara yang menyebabkan berpuluh-puluh penumpang cedera dan seorang maut.

Penerbangan Boeing 777-300ER dari London ke Singapura itu melencong ke Bangkok untuk melakukan pendaratan cemas selepas pesawat itu dilanda gelora udara. Ia menyebabkan penumpang di dalam pesawat itu tercampak manakala beberapa yang lain terlambung ke siling kapal terbang.

Seorang penumpang warga Britain berusia 73 tahun meninggal dunia disyaki terkena jangkitan jantung dan sekurang-kurangnya 30 orang cedera.

"Saya melihat orang berpindah kedudukan daripada tempat asal mereka, dan ada terlambung akibat gelora udara. Ada juga yang berada di bawah kerusi. Keadaan itu menakutkan.

"Orang ramai ada yang mengalami luka besar di kepala, dan pening," kata seorang pelajar berusia 28 tahun, Dzafran Azmir kepada Reuters selepas tiba di Singapura.

Gambar dari bahagian dalam pesawat menunjukkan kerosakan pada panel atas kabin, topeng oksigen dan panel tergantung serta bagasi berselerak.

Singapore Airlines membawa 131 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan bantuan dari Bangkok, tiba di Singapura kira-kira pukul 5.00 pagi waktu tempatan.

Penerbangan asal mempunyai 211 penumpang termasuk warga Australia, British dan Singapura, serta 18 anak kapal.

Penumpang yang cedera dan keluarga mereka masih kekal di Bangkok.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI