fb fb fb fb fb

Penulis blog maut dalam letupan di kafe St Petersburg

(Penyiasat kemudian mengesahkan bahawa alat letupan yang belum dikenal pasti
meletup di sebuah kafe di tengah St Petersburg/AFP)

MOSCOW, 3 April- Seorang penulis blog tentera Rusia yang terkemuka terbunuh dalam satu letupan di sebuah kafe di bandar kedua terbesar di Rusia, Saint Petersburg.

"Seorang terbunuh dalam kejadian itu. Dia koresponden tentera Vladlen Tatarsky," kata kementerian dalam negeri menerusi Telegram.

Penyiasat kemudian mengesahkan bahawa "alat letupan yang belum dikenal pasti meletup di sebuah kafe di tengah St Petersburg. 19 orang cedera," katanya dalam satu kenyataan.

Agensi berita TASS memetik sumber penguat kuasa undang-undang sebagai berkata letupan itu "disebabkan bahan letupan buatan sendiri; disembunyikan di dalam patung yang diberikan kepada Tatarsky sebagai hadiah".

Tatarsky atau nama sebenarnya Maxim Fomin, mempunyai lebih 500,000 pengikut di Telegram dan menyokong operasi ketenteraan Rusia di Ukraine.

Letupan berlaku di "Street Food Bar No. 1" di pusat bandar. Menurut kementerian dalam negeri, polis telah dipanggil ke tempat kejadian pada 6:13 petang (1513 GMT).

Sebuah kumpulan bernama Cyber ​​Front Z, yang menggelar mereka di media sosial sebagai "pasukan maklumat Rusia", berkata mereka telah menempah kafe tersebut pada petang kejadian.

"Terdapat serangan pengganas. Kami mengambil langkah keselamatan tertentu tetapi malangnya ia tidak mencukupi," kata kumpulan itu di Telegram.

"Takziah kepada semua yang mengenali wartawan perang yang sangat baik dan rakan kami Vladlen Tatarsky," katanya.

Tatarsky berusia 40 tahun berasal dari wilayah Donetsk di timur Ukraine, wilayah yang telah diambil menjadi sebahagian Persekutuan Rusia dan sebahagian besarnya dikuasai tentera Rusia. -AFP

(Penulis blog maut dalam letupan di kafe St Petersburg/REUTERS)

Media Baharu