GENEVA, 2 Jun - WHO tidak mempunyai akses ke atas data mengenai penularan COVID-19 di Korea Utara.
Namun, beranggapan krisis kesihatan di negara itu semakin buruk.
Kenyataan tersebut bertentangan dengan laporan Pyongyang yang mendakwa penularan pandemik itu terkawal.
Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan berkata, pada masa ini, pihaknya tidak dapat membuat penilaian risiko yang mencukupi mengenai keadaan di lapangan.
"Sangat sukar untuk memberikan analisis yang betul kepada dunia apabila tidak mempunyai akses kepada data yang diperlukan", katanya kepada pemberita dan mengakui negara yang sangat berahsia itu hanya memberikan maklumat yang sangat terhad.
Sementara itu, Ketua WHO mengenai COVID-19, Maria Van Kerkhove, berkata negara itu mencatat lebih 3 juta kes yang disyaki COVID-19 walaupun laporan hanya menyebut kes sebagai demam.
(Tentera Rakyat Korea membekalkan ubat-ubatan di sebuah farmasi di Pyongyang/AFP)
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) yang dikendalikan kerajaan melaporkan pada awal Khamis bahawa kira-kira 96,600 "kes demam" dalam tempoh 24 jam, dengan jumlah 3.8 juta kes sejak hujung April lalu.
Tiada kematian baharu diumumkan dan 69 kematian direkodkan setakat hujung minggu lalu.
Walaupun Korea Utara antara yang mempunyai sistem kesihatan yang terburuk di dunia, KCNA melaporkan pada Khamis bahawa lebih daripada 95 peratus kes telah pulih.
Ryan turut menekankan kepentingan mengekang wabak di negara itu.
Katanya, WHO akan terus menawarkan bantuan, terutama dari segi bekalan vaksin, meskipun telah tiga kali ditolak Pyongyang.
"Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bekerjasama dengan China dan Korea Selatan dalam usaha mendapatkan bantuan, sikap yang sangat positif dalam usaha menangani masalah kolektif ini," katanya.
WHO telah berulang kali memberi amaran agar tidak membenarkan virus yang menyebabkan COVID-19 merebak tanpa kawalan, kerana ia berkemungkinan bermutasi dan menghasilkan varian baharu yang lebih berbahaya.
"Kami tidak mahu melihat penularan penyakit ini yang teruk dalam populasi yang paling mudah terdedah, dalam sistem kesihatan yang sudah terjejas," kata Ryan.
"Ini tidak baik untuk rakyat (Korea Utara). Ini tidak baik untuk rantau ini. Ini tidak baik untuk dunia", katanya.