fb fb fb fb fb

Anggota pengaman PBB terbunuh dalam serangan pengganas di Mali

(Penduduk Bamako, Mali/Fail AFP)

BAMAKO, 2 Jun- Seorang anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh manakala tiga lagi cedera diserang pengganas ketika konvoi berada di Kidal, utara Mali.

Perkara itu disahkan misi Penstabilan Bersepadu Multidimensi PBB (MINUSMA).

Mereka yang terbunuh adalah anggota misi kontinjen Jordan, menurut seorang pegawai keselamatan yang tidak mahu namanya didedahkan.

Jurucakap MINUSMA, Olivier Salgado menerusi Twitter berkata, konvoi diserang menggunakan senjata kecil dan bom tangan berpelancar roket dalam serangan berakhir kira-kira sejam.

“Agak malang, salah seorang anggota mati akibat luka serius susulan serangan tersebut,” tulisnya dalam bahasa Perancis.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut diberikan berhubung identiti penyerang.

Menerusi kenyataan wakil khas PBB di Mali dan ketua MINUSMA, El-Ghassin Wane, anggota pengaman berjaya mengusir penyerang yang menggunakan senjata lengkap.


(Anggota pengaman PBB MINUSMA/Fail AFP)

“Saya amat mengutuk serangan itu yang disifatkan cubaan terdesak oleh kumpulan pengganas untuk menghalang usaha perdamaian di Mali dan pelaksanaan mandat MINUSMA,” katanya.

Kenyataan sama menyebut, serangan terbaharu itu adalah kali ke lima berlaku di wilayah Kidal, Mali dalam tempoh seminggu.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengutuk serangan itu dan berkata serangan terhadap “pasukan pengaman“ adalah “jenayah perang bawah undang-undang antarabangsa."

Guterres mahu pihak pihak berkuasa Mali berusaha mengenal pasti pelaku serangan supaya mereka boleh dibawa ke muka pengadilan dengan cepat,” kata jurucakap Guterres.

Misi MINUSMA dimulakan pada 2013 bagi membantu meningkatkan keselamatan di negeri Sahel yang derdepan serangan kumpulan pemberontakan yang dikaitkan dengan kumpulan al-Qaeda dan Daesh sejak 2012.

Disertai 13,000 anggota, MINUSMA antara misi pengaman terbesar PPB, juga salah satu misi paling berbahaya menyaksikan 172 anggota tentera terbunuh akibat serangan atau tindakan pemberontak. -AFP

Media Baharu