fb fb fb fb fb

Lagi kes tembakan di AS - serangan terbaharu di hospital, empat orang awam maut

WASHINGTON, 2 Jun - Seorang lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya empat orang pada hari Rabu di hospital di Tulsa, Oklahoma.

Menurut polis, tembakan rambang terbaharu itu berlaku ketika kes tembakan di Texas minggu lalu masih lagi segar.

Suspek, yang bersenjatakan senapang dan pistol, turut terbunuh dalam serangan di kampus hospital St. Francis, kata polis.

"Buat masa ini, empat orang awam maut, seorang penembak maut, dan kami percaya ia dilakukannya seorang sendiri," kata Timbalan Ketua Polis Tulsa, Eric Dalgleish.

Beliau berkata pegawai bertindak balas serta-merta selepas menerima panggilan kecemasan mengatakan seorang penembak telah menyerbu ke tingkat dua sebuah klinik yang terletak di St. Francis.

Namun, tidak dinyatakan berapa ramai orang lain yang mungkin cedera.

Dalgleish berkata, keseluruhan serangan bermula dari saat panggilan kecemasan masuk ke masa pegawai terlibat dengan penembak itu berlangsung kira-kira empat minit.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah diberi taklimat mengenai insiden tersebut, menurut White House dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pentadbiran telah menawarkan sokongan kepada pegawai tempatan.

Elizabeth Buchner, pembantu undang-undang yang tinggal di belakang klinik tempat tembakan berlaku, berkata dia bergegas keluar dari rumahnya apabila mendengar helikopter dan kekecohan yang lebih kuat datang dari arah hospital.

Katanya dia menyaksikan pasukan taktikal meluru masuk ke dalam salah satu bangunan, sebahagian tindak balas yang disifatkannya sebagai "pantas dan kuat," tanpa "tidak teragak-agak."

Kes tembakan itu adalah yang terbaru dalam rentetan serangan maut oleh lelaki bersenjata yang menggegarkan Amerika Syarikat pada bulan lalu.

Pada 14 Mei seorang warga kulit putih yang menyasarkan warga Afrika Amerika membunuh 10 orang di sebuah kedai runcit di Buffalo, New York. Penembak tersebut bagaimanapun terselamat dan menghadapi pertuduhan.

Sepuluh hari kemudian seorang lelaki bersenjata berusia 18 tahun bersenjatakan AR-15 menyerbu sebuah sekolah rendah di bandar kecil Texas Uvalde dan membunuh 21 orang, 19 daripadanya kanak-kanak, sebelum ditembak mati oleh polis.

Pada hari Rabu seorang daripada dua guru yang terbunuh dalam serangan itu telah dikebumikan di Uvalde, sehari selepas pengebumian pertama kanak-kanak itu.


(Anggota polis berkawal di kawasan Hospital St. Francis)
FOTO AFP

Media Baharu