fb fb fb fb fb

Pentagon nafi bantu Ukraine 'menyasarkan' jeneral Rusia

(Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat/GOOGLE)

WASHINGTON, 6 Mei - Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) menafikan bahawa ia menyediakan maklumat risikan mengenai lokasi jeneral Rusia di medan perang supaya tentera Ukraine boleh membunuh mereka.

Mengulas laporan New York Times mengenai sokongan AS untuk tentera Ukraine, jurucakap Pentagon John Kirby berkata adalah benar Amerika Syarikat membekalkan tentera Kiev dengan perisikan tentera "untuk membantu rakyat Ukraine mempertahankan negara mereka."

“Kami tidak memberi risikan mengenai lokasi pemimpin kanan tentera di medan perang atau mengambil bahagian dalam menetapkan sasaran tentera Ukraine,” kata Kirby.

(Jurucakap Pentagon John Kirby)

Dalam pendedahan berasingan, media AS melaporkan lewat Khamis bahawa Amerika Syarikat telah berkongsi maklumat risikan yang membantu Ukraine menenggelamkan kapal perang Rusia, Moskva bulan lalu.

Pegawai yang identitinya enggan didedahkan mendakwa, Washington telah mengesahkan lokasi Moskva di Laut Hitam.

AS bagaimanapun tidak tahu bahawa Ukraine akan menyasarkan kapal utama itu, kata pegawai tersebut.

Ukraine juga berjaya menyerang kedudukan komando Rusia dan menurut laporan, minggu lalu hampir berjaya menyerang jeneral tertinggi Rusia, Valery Gerasimov, dipercayai sedang melawat pasukan tentera di lokasi berhampiran barisan hadapan di wilayah Donbas.

Tentera Ukraine telah membedil lokasi itu hanya beberapa jam selepas Gerasimov meninggalkannya, kata laporan yang tidak disahkan. -AFP

Media Baharu