DHAKA, 14 November- Bangladesh berdepan risiko peningkatan kes denggi selepas pakar meramalkan lonjakan suhu dan monsun lebih lama susulan perubahan iklim di negara itu mendorong pembiakan aedes.
Negara itu ketika ini sedang bergelut dengan penularan denggi paling teruk yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Data rasmi merekodkan sebanyak 291,832 kes jangkitan denggi dengan angka kematian adalah 1,476 kes, sehingga kelmarin.
Ia sekali gus mengakibatkan fasiliti kesihatan bergelut menangani peningkatan jumlah pesakit.
Jumlah kematian berkaitan denggi di Bangladesh tahun ini, meningkat lima kali ganda berbanding 2022 yang hanya mencatatkan 281 kes dengan ia adalah paling tinggi sejak pihak berkuasa mula membuat pengesanan, pada 2000.
Profesor entomologi dan zoologi Universiti Jahangirnagar di Bangladesh, Kabirul Bashar, mengakui belum pernah melihat penularan begitu teruk sepanjang 25 tahun penyelidikannya, yang sebahagian besar berkaitan nyamuk.
Selain itu, katanya, aedes boleh membiak walaupun dalam pembetung kotor dan di air laut bagi melengkapkan kitaran hayatnya.
"Suhu, hujan dan elemen lain berubah akibat perubahan iklim. Kita ramal hujan luar biasa seperti monsun pada pertengahan Oktober.
"Perubahan bermusim ini mewujudkan situasi ideal untuk pembiakan aedes dan ia sedang menyesuaikan diri dengan keadaan berkenaan.
"Kesimpulan selepas tiga tahun percubaan mendapati aedes menggigit sepanjang hari," katanya yang juga satu-satunya pakar saintifik dalam jawatankuasa antidenggi Bangladesh.
Ini adalah tahun pertama kes denggi dilaporkan di semua 64 daerah di negara dengan jumlah penduduk kira-kira 170 juta itu.
Bashar berkata pengawasan vektor dan pemeriksaan rapi tentang bagaimana penyakit itu merebak kini diperlukan sepanjang tahun di Bangladesh.
Kebanyakan orang yang mendapat denggi tidak mempunyai simptom, jadi bilangan kes mungkin jauh lebih tinggi daripada jumlah yang dilaporkan.- REUTERS