fb fb fb fb fb

Penindasan terhadap Orang Asli Brazil masih berterusan

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula (Kiri) dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kanan)/Foto REUTERS

BRASILIA, 23 Julai-Perlindungan terhadap masyarakat Orang Asli Brazil daripada penindasan oleh perampas tanah dan penternak haram masih lagi tidak memadai pada 2023, menurut laporan yang diterbitkan pada Isnin.

Keadaan itu sekali gus memusnahkan harapan bahawa keadaan komuniti tersebut akan bertambah baik di bawah pentadbiran Presiden Brazil,Luiz Inacio Lula.

Majlis Mubaligh untuk Orang Asli (CIMI), sebuah organisasi Persidangan Uskup Katolik Brazil, berkata tahun pertama pentadbiran Lula memegang jawatan sebagai Presiden telah menunjukkan percanggahan dalam polisi terhadap orang asli serta kekecewaan terhadap tuntutan tanah adat oleh komuniti orang asli.

Menurut CIMI, ketika Lula meneruskan penguatkuasaan terhadap pencerobohan secara haram terhadap tanah adat yang diiktiraf, terdapat 208 kes pembunuhan orang asli tahun lalu menerusi tembakan.

Jumlah tersebut meningkat berbanding 182 pembunuhan pada 2020 kata CIMI yang memetik data berkenaan daripada Kementerian Kesihatan Brazil.

CIMI turut mendakwa pihak polis turut terlibat dalam kumpulan jenayah yang disiasat kerana kematian orang asli.

Polis dilaporkan bertindak sebagai pengiring bagi petani, berkongsi maklumat dan menyokong serangan terhadap beberapa komuniti orang asli seperti Guarani dan Kaiowá di selatan Brazil.

Presiden Brazil Lula memulakan penggal ketiganya pada 1 Januari 2023 berganding bahu bersama-sama pemimpin Orang Asli Brazil yang paling terkenal, Kayapo Raoni Metuktire.

Langkah pertamanya selepas mengangkat sumpah ialah mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Orang Asli buat pertama kali dalam sejarah Brazil dan diketuai oleh seorang wanita Orang Asli, Sonia Guajajara.

Lula turut mengarahkan operasi secara besar-besaran melibatkan polis dan tentera untuk mengusir beribu-ribu pelombong haram dari Yanomami.

Pencerobohan secara haram di Yanomami menyebabkan krisis kemanusiaan, keganasan dan penyakit menular dalam kalangan orang asli Yanomami.

Namun, Kongres Brazil yang berhaluan konservatif meluluskan rang undang-undang yang mengehadkan tuntutan tanah orang asli walaupun terhadap tanah adat yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Tindakan Lula memveto sebahagian rang undan-undan tersebut dibatalkan oleh penggubal undang-undang dengan sokongan daripada pelobi ladang yang berkuasa.

Tambah CIMI, pencerobohan tanah orang asli berjumlah 1,381 kebanyakannya di tanah dalam proses diiktiraf secara rasmi, kata laporan itu.

Kerajaan Lula secara rasmi mengiktiraf lapan kawasan yang telah diwartakan dan dilindungi negara.

Angka tersebut dianggap sebagai tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya namun masih di bawah jangkaan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD