fb fb fb fb fb

Pengundian awal Pilihan Raya AS bermula di tiga negeri

Foto AFP

ARLINGTON, 21 September - Lebih sebulan sebelum Pilihan Raya Presiden pada 5 November, rakyat Amerika telah mula beratur untuk mengundi dalam persaingan sengit antara Naib Presiden, Kamala Harris dan bekas Presiden, Donald Trump.

Pengundian awal secara fizikal bermula pada Jumaat di negeri Virginia, South Dakota dan Minnesota.

Menurut Tom Kilkenny, 56, yang hadir di pusat mengundi di Arlington, Virginia, beliau merasakan pengundian awal itu sebahagian daripada proses.

Isterinya, Michelle Kilkenny, 55, turut menyatakan kegembiraannya kerana dapat memberikan contoh yang baik kepada rakan dan jiran dengan mengundi awal.

Beliau memakai kemeja-T biru yang dipenuhi lencana Parti Demokrat sebagai tanda sokongannya.

Setiap daripada 50 negeri di Amerika Syarikat mempunyai prosedur pengundian tersendiri, sama ada melalui pos, secara fizikal atau gabungan kedua-duanya.

Bagi sesetengah keluarga, mengundi awal merupakan satu tradisi, seperti yang dilakukan oleh Nick Vucic dan isterinya Becca yang membawa tiga anak perempuan mereka ke pusat pengundian.

Di Arlington, kawasan sekitar dipenuhi dengan papan tanda dan poster Harris serta Trump, manakala aktivis mendirikan gerai maklumat dimana kebanyakan pengundi di kawasan tersebut adalah penyokong Demokrat.

Selain mengundi presiden, pengundi juga memilih wakil untuk pilihan raya tempatan dan negeri.

Persaingan kali ini dianggap sangat penting selepas Presiden Joe Biden menarik diri dari bertanding dan menyerahkan tugas kepada Harris, serta menyaksikan dua percubaan membunuh terhadap Trump.

Namun, di Fairfax, Virginia, yang terletak hanya satu jam dari Washington, sesetengah pengundi menunjukkan pandangan yang berbeza.

Arthur Stewart, seorang juruteknik berusia 58 tahun, menyokong Trump kerana percaya rekod ekonominya yang baik dan tindakan tegas dalam isu keselamatan sempadan.

Stewart turut menyokong dakwaan tidak berasas Trump bahawa pilihan raya 2020 telah dicuri. Baginya, mengundi awal penting untuk memastikan tidak berlaku sebarang penipuan kali ini.

Walaupun perbezaan politik jelas, satu perkara yang menyatukan rakyat Amerika ialah kebanggaan selepas mengundi.

Setiap pengundi, sama ada penyokong Harris atau Trump, akan menerima pelekat "I Voted" yang mereka pakai dengan bangga.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN