fb fb fb fb fb

Komander tertinggi Hezbollah terbunuh dalam serangan Israel di Beirut

Foto Reuters

BEIRUT, 21 September – Israel melancarkan serangan udara di Beirut pada Jumaat, membunuh seorang komander tertinggi Hezbollah, Ibrahim Aqil bersama beberapa lagi tokoh kanan pergerakan itu, ketika negara tersebut berikrar untuk meneruskan kempen ketenteraan sehingga kawasan sekitar sempadan Lubnan dapat dikawal sepenuhnya.

Tentera Israel dan sumber keselamatan di Lubnan mengesahkan bahawa Aqil, bersama ahli kanan lain dari unit elit Hezbollah, terbunuh dalam serangan yang secara dramatik meningkatkan ketegangan antara Israel dan kumpulan yang disokong oleh Iran itu.

Dalam satu kenyataan rasmi, Hezbollah mengesahkan kematian Aqil namun tidak memberikan maklumat lanjut mengenai insiden tersebut.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 14 kematian dalam serangan itu, dengan angka korban dijangka meningkat ketika operasi menyelamat diteruskan.

Setakat ini, 66 orang dilaporkan cedera, dengan sembilan dalam keadaan kritikal.

Sumber keselamatan kedua menyatakan bahawa sekurang-kurangnya enam lagi komander Hezbollah turut terbunuh apabila beberapa peluru berpandu mengenai pintu masuk sebuah garaj.

Letupan tersebut merosakkan tingkat bawah bangunan, ketika Aqil dan komander-komander lain sedang bermesyuarat di dalamnya.

Menurut saksi, bunyi siulan kuat diikuti beberapa letupan berturut-turut terdengar sewaktu serangan itu berlaku.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam kenyataan ringkasnya berkata, "Matlamat Israel jelas, dan tindakan kami berbicara dengan sendirinya."

Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, mengesahkan bahawa Israel telah memasuki fasa baru peperangan di sempadan utara dan bertekad untuk memastikan keselamatan penduduknya.

Puluhan ribu penduduk di kedua-dua belah sempadan Israel-Lubnan telah dipindahkan sejak Hezbollah mula melancarkan roket ke arah Israel sebagai sokongan kepada Palestin dalam peperangan yang sedang berlangsung di Gaza.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN