fb fb fb fb fb

Pengeluaran ekonomi Ukraine menguncup 45.1 peratus

WASHINGTON, 11 April- Bank Dunia menganggarkan pengeluaran ekonomi Ukraine menguncup 45.1 peratus tahun ini.

Ini susulan pencerobohan Rusia sehingga menyebabkan perniagaan ditutup, mengurangkan eksport sekali gus menyukarkan pergerakan ekonomi di negara itu.

Institusi itu turut meramalkan keluaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) Rusia pada 2022 akan jatuh 11.2 peratus disebabkan sekatan kewangan dikenakan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Baratnya ke atas bank Rusia.

Kemas kini ekonomi 'War in the Region' oleh Bank Dunia berkata, rantau Eropah Timur, terdiri daripada Ukraine, Belarus dan Moldova, diramal menunjukkan penguncupan KDNK sebanyak 30.7 peratus tahun ini, disebabkan impak daripada perang dan gangguan perdagangan.

 

Pertumbuhan pada 2022 di rantau Eropah Tengah terdiri Bulgaria, Croatia, Hungary, Poland dan Romania, akan dikurangkan kepada 3.5 peratus daripada 4.7 peratus sebelum ini, disebabkan kemasukan pelarian, harga komoditi lebih tinggi dan keyakinan pelabur yang merosot sehingga menjejaskan permintaan.

Bagi Ukraine, laporan Bank Dunia menganggarkan lebih separuh daripada perniagaan negara itu ditutup, manakala yang lain masih dibuka dan beroperasi dengan baik di bawah kapasiti normal.

Penutupan perkapalan Laut Hitam dari Ukraine memotong kira-kira 90 peratus daripada eksport bijirin negara dan separuh daripada jumlah eksportnya.

Bank Dunia berkata, perang menyebabkan aktiviti ekonomi mustahil di sebahagian besar negara dan mengganggu operasi penanaman serta penuaian hasil pertanian.

Anggaran kerosakan infrastruktur melebihi AS$100 bilion menjelang awal Mac kira-kira dua pertiga daripada KDNK 2019 Ukraine. -REUTERS


Media Baharu