BEIJING, 16 Disember- Pengasas firma AI terkemuka China SenseTime dan saintis komputer yang berpengaruh meninggal dunia secara tiba-tiba, kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.
"Dukacita kami mengumumkan Pengasas kami yang dikasihi... Tang Xiao'ou meninggal dunia kerana penyakit yang tidak dapat dirawat. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.45 malam, 15 Disember 2023," kata SenseTime dalam satu hantaran.
Tang, alumni Institut Teknologi Massachusetts dan bekas profesor di Universiti China Hong Kong yang mengasaskan SenseTime pada 2014, berusia pertengahan lima puluhan.
Punca khusus kematian saintis komputer terkenal itu belum diketahui.
SenseTime diletakkan dalam senarai hitam perdagangan Amerika Syarikat (AS) pada 2019 dan dituduh sebagai penyedia kepada "tentera" China berhubung penggunaan teknologinya dalam pengawasan meluas di wilayah barat Xinjiang.
Pada Disember 2021, tawaran awam permulaan firma di Hong Kong ditangguhkan selepas ia disekat oleh AS.
SenseTime memuji Tang sebagai "wakil cemerlang dalam bidang AI (China)", beliau digelar sebagai "berpengetahuan, tegas dan pragmatik".
Tang mempunyai pengalaman luas dalam akademik yang diperolehinya dari AS. Selian itu beliau turut memperoleh PhD dari MIT pada 1996 selepas menamatkan MSc di University of Rochester pada 1991.- AFP