fb fb fb fb fb

Pengasas Telegram kritik Perancis atas penahanannya

Pengasas dan Ketua Eksekutif Telegram, Pavel Durov/Foto AFP

PARIS, 6 September – Pengasas dan Ketua Eksekutif Telegram, Pavel Durov, mengkritik tindakan pihak berkuasa Perancis yang menahannya pada bulan lalu berhubung penerbitan kandungan ekstremis dan haram di aplikasi pemesejan popular itu.

Dalam hantaran panjang di Telegram, Durov menyifatkan penahanannya sebagai "mengejutkan" apabila beliau dipertanggungjawabkan atas kandungan yang dihasilkan oleh pihak lain.

Hantaran itu merupakan komen pertama beliau sejak penahanannya.

Beliau juga membantah dakwaan bahawa Telegram bagaikan syurga anarki adalah "tidak benar sama sekali.

"Kami memadamkan berjuta-juta siaran dan saluran berbahaya setiap hari," tegasnya.

Durov turut menafikan tuduhan bahawa Perancis tidak menerima maklum balas daripada Telegram berhubung permintaan mereka.

Pengasas Telegram berkata beliau sendiri telah membantu pihak berkuasa Perancis mewujudkan talian kecemasan dengan Telegram untuk menangani ancaman keganasan di Perancis.

Jumlah pengguna Telegram kini mencecah 950 juta di seluruh dunia merupakan cabaran besar kepada aplikasi itu apabila wujudnya penjenayah menyalahgunakan platform itu.

“Saya berharap kejadian pada bulan Ogos ini akan menjadikan Telegram — dan industri rangkaian sosial secara keseluruhan — lebih selamat dan lebih kukuh.”

Durov, 39, didakwa selepas ditahan selama empat hari di Perancis atas beberapa tuduhan gagal membendung kandungan ekstremis dan haram di Telegram.

Beliau mendapat sokongan daripada rakan jutawan teknologi dan Ketua Pegawai Eksekutif X, Elon Musk, yang menggunakan hashtag #FreePavel.

Durov ditahan pada 24 Ogos di lapangan terbang Le Bourget di luar Paris selepas tiba dengan jet peribadi.

Dia disoal siasat selama beberapa hari oleh penyiasat.

Beliau dibebaskan dengan jaminan lima juta euro ($5.5 juta) dan perlu melaporkan diri ke balai polis dua kali seminggu serta kekal berada di Perancis.

Durov, seorang tokoh misteri yang jarang tampil di khalayak.

Dia memiliki tiga kewarganegaraan iaitu Rusia, Perancis, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), di mana pejabat utama atau operasi Telegram berpusat di UAE.

Majalah Forbes menganggarkan Pavel Durov mempunyai kekayaan sebanyak $15.5 bilion. Walaupun beliau sangat kaya, beliau tetap menjalani gaya hidup yang sederhana, termasuk mengamalkan rutin mandi ais serta tidak meminum alkohol atau kopi. - AFP

Customer Support