INCHEON, 6 September - Usaha membanteras kegiatan pencerobohan bot nelayan asing, pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah antara fokus utama Mesyuarat Peringkat Tertinggi Ketua-Ketua Agensi Pengawal Pantai Asia (HACGAM) ke-20 di Korea Selatan.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim menerusi satu kenyataan memaklumkan, penyertaan pihaknya dalam HACGAM ke 20 bertujuan memperkukuh kerjasama dengan agensi setaraf dari negara-negara rantau Asia.
Khususnya, dalam menangani isu-isu keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Jelas beliau, agensi tersebut memerlukan kerjasama erat dan perkongsian maklumat yang efektif dari negara-negara serantau agar keselamatan maritim Malaysia sentiasa terpelihara.
Terdapat lima teras menjadi fokus persidangan dan Maritim Malaysia terlibat secara langsung menerusi dua daripadanya, iaitu Mencari dan Menyelamat Maritim serta Pencegahan dan Kawalan Pelanggaran Undang-Undang Serta Akta Di Laut.
"Rantau Asia yang luas ini berdepan dengan pelbagai cabaran maritim, termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan ancaman terhadap keselamatan perairan.
"Penyertaan Maritim Malaysia dalam HACGAM adalah bukti komitmen Kuala Lumpur untuk terus bekerjasama dengan negara-negara serantau bagi memastikan keselamatan dan kelestarian maritim sentiasa terpelihara," katanya.
Selain perbincangan formal, mesyuarat juga menyediakan platform kepada Maritim Malaysia bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dengan agensi pengawal pantai lain.
Ia bagi tujuan meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan, termasuk penerapan teknologi baharu dan strategi yang lebih inovatif dalam memantau serta melindungi perairan.
HACGAM kali ini dihadiri 20 buah negara termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, Jepun, China, India, Pakistan, Bangladesh, Australia dan Turkiye.