TEBING BARAT, 24 April- Sekumpulan peneroka haram Israel menyerang Kampung Sinjil di Tebing Barat, merosakkan infrastruktur serta mencuri ternakan pada Rabu; insiden kedua dalam tempoh dua hari.
Menurut penduduk tempatan, Muhareb al-Zabn, kumpulan peneroka haram terbabit yang menutup muka mereka bertindak membakar serta merosakkan harta benda termasuk tangki air miliknya.
"Hari ini pun sama, mereka datang ke kawasan sama, dari arah bawah, semua bertutup muka, macam geng mafia, mereka datang, bakar tempat saya, rosakkan semuanya termasuk tangki air," katanya kepada REUTERS.
Tebing Barat, yang terletak di antara Jordan dan Israel, telah diceroboh dan diduduki secara haram oleh tentera Israel sejak perang Asia Barat 1967.
Kawasan tersebut semakin dicerobohi dengan pembinaan penempatan haram Israel yang semakin membangun.
Kebanyakan negara menganggap penempatan berkenaan tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, namun Israel menolak dakwaan itu.
Malah, beberapa menteri dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu secara terbuka menyuarakan hasrat untuk merampas dan menggabungkan sepenuhnya wilayah tersebut ke dalam Israel.- REUTERS