fb fb fb fb fb

Ukraine dakwa Kiev diserang peluru berpandu, 21 cedera

Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko/AFP

KIEV, 24 April- Pihak berkuasa Ukraine mengeluarkan amaran serangan peluru berpandu ke atas ibu kota Kiev awal pagi Khamis, dengan beberapa letupan kedengaran di seluruh bandar tersebut.

"Kiev sedang diserang oleh peluru berpandu musuh.

Mereka turut melaporkan kerosakan di sekurang-kurangnya dua daerah dan menggesa penduduk agar segera berlindung," menurut kenyataan tentera bandar Kiev di Telegram.

Bunyi beberapa dron turut kedengaran merentasi ruang udara ibu kota.

Di sebuah tempat perlindungan bawah tanah yang disediakan di ruang bawah sebuah pangsapuri, lebih puluhan penduduk dilihat berkumpul sebaik amaran udara dikeluarkan.

Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun telah dikejarkan ke hospital.

Beliau kemudian mengesahkan jumlah mangsa cedera meningkat kepada 21 orang.

"Kes ke-21 sudah pun dimasukkan ke hospital," katanya menerusi Telegram.

Kali terakhir Kiev diserang peluru berpandu adalah pada 5 April lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera.

Sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh pada Februari 2022, ibu kota Ukraine itu telah beberapa kali menjadi sasaran serangan.

Sementara itu, di timur Ukraine, bandar Kharkiv turut diserang dengan tujuh peluru berpandu, menurut Datuk Bandarnya, Igor Terekhov.

Ketua pembantu kepada Presiden Volodymyr Zelensky, Andriy Yermak berkata Rusia sedang menyerang Kiev, Kharkiv dan beberapa bandar lain dengan peluru berpandu dan dron.

“Putin hanya menunjukkan keinginan untuk membunuh. Serangan terhadap orang awam mesti dihentikan," katanya.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM