TOKYO, 2 Ogos- Lebih 200,000 isi rumah dilapor terputus bekalan elektrik pada pagi Rabu susulan angin kencang yang melanda Okinawa, Jepun.
Tiupan kuat taufan Khanun kini bergerak perlahan menghampiri pulau-pulau di barat daya negara itu sekali gus menyebabkan hujan lebat.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, beratus-ratus ribu orang di wilayah tropika, destinasi pelancongan popular kira-kira 1,600 km dari barat daya ibu kota Jepun, Tokyo dinasihatkan untuk berpindah ketika ribut bergerak ke barat laut pada kelajuan 10 kph (6.2 mph).
Syarikat utiliti tempatan, Okinawa Electric Power dalam satu kenyataan memaklumkan kira-kira 218,260 isi rumah atau 34% daripada semua rumah yang dilindungi, mengalami gangguan bekalan elektrik setakat pukul 9.00 pagi waktu Jepun.
(FOTO REUTERS)
Di ibu kota Okinawa, Naha, lapangan terbang ditutup sepenuhnya untuk hari kedua pada Rabu.
"Lebih 400 penerbangan telah dibatalkan setakat pagi dengan sekurang-kurangnya 65,000 penumpang terjejas," menurut penyiar awam NHK.
Ribut melanda semasa kehadiran pelancong musim panas tahun ini, yang menyaksikan jumlah pelawat kembali ke tahap sebelum pandemik.
Okinawa sering dilanda taufan tetapi sering berlaku pada akhir tahun.- REUTERS