fb fb fb fb fb

33 maut dalam operasi antikartel di Brazil

 

(FOTO FAIL AFP)

SAO PAULO, 2 Ogos- Sekurang-kurangnya 33 orang telah terbunuh dalam operasi polis terhadap kartel dadah di dua negeri di Brazil sejak minggu lalu.

Jumlah kematian yang tinggi menyebabkan timbul desakan untuk siasatan bebas.

Di Sao Paulo, Gabenor Tarcisio de Freitas berkata polis telah membunuh 14 suspek selepas diserang semasa operasi antidadah besar-besaran yang dilancarkan.

Sementara di Bahia, 19 suspek di tiga bandar berbeza telah terbunuh sejak Jumaat dalam pertempuran dengan polis.

Dalam semua kes, pihak berkuasa berkata polis telah membalas tembakan selepas diserang.

Bagaimanapun, pembunuhan itu mendapat kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia di Brazil, di mana tuduhan kekerasan oleh pasukan keselamatan kerap berlaku.

Operasi Sao Paulo dilancarkan pada Jumaat, sehari selepas seorang pegawai pasukan khas polis berusia 30 tahun ditembak mati ketika melakukan rondaan di Guaruja, salah satu daripada beberapa pelabuhan yang menjadi nadi kepada ibu kota ekonomi Brazil itu.

Pejabat 'ombudsman' dalaman pasukan polis negeri sedang menyiasat lebih banyak kematian berpunca daripada operasi itu, dan menganggarkan jumlah keseluruhan boleh meningkat kepada 19, lapor akhbar Folha de Sao Paulo.

Saluran TV Globo News berkata penduduk tempatan telah menuduh polis menyeksa suspek semasa operasi yang digelar "Operasi Perisai."

Freitas, sekutu bekas presiden sayap kanan Jair Bolsonaro, hari ini menafikan tuduhan tersebut.

Tetapi "jika ada penyalahgunaan kuasa, mereka akan dihukum," katanya pada sidang akhbar Selasa.

Menteri Kehakiman Presiden berhaluan kiri Luiz Inacio Lula da Silva, Flavio Dino, mengkritik operasi itu, berkata reaksi polis "nampaknya tidak berkadar dengan jenayah yang dilakukan."

Suruhanjaya Arns, sebuah kumpulan hak asasi manusia, menggesa "penyiasatan segera" mengenai kematian, dan Amnesty International mengkritik Freitas kerana "menghalalkan keganasan polis."

Pihak berkuasa berkata mereka telah menahan 32 suspek setakat ini dalam operasi itu, termasuk suspek yang dikatakan menembak mati polis serts merampas 11 senjata dan lebih 20 kg dadah.

Tahun lalu, 6,429 orang dibunuh oleh polis di Brazil dengan purata 17 orang sehari, menurut Forum Keselamatan Awam, sebuah kumpulan pemerhati.-AFP


(FOTO FAIL HUMAN RIGHTS WATCH)

Media Baharu