GAZA, 20 Oktober - Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Bandar Gaza berkata, mereka tidak dapat kembali ke kawasan asal mereka dan masih berdepan dengan ancaman keselamatan walaupun gencatan senjata sedang berkuat kuasa.
Seorang penduduk Palestin yang dipindahkan, Hala Obaid, yang berasal dari kejiranan Shujaiya di timur Bandar Gaza menggambarkan keadaan hidup yang sangat sukar dengan kawalan masih berlaku.
“Tempat saya berada sekarang juga sangat berbahaya, maksudnya kami menghadapi risiko maut pada bila-bila masa, kerana apabila saya atau anak-anak keluar, peluru datang ke arah kami dan kadang-kadang dari bawah kaki kami dan juga dari atas khemah kami,” katanya.
Gencatan senjata baharu itu mula berkuat kuasa pada 10 Oktober, menamatkan dua tahun peperangan, namun kerajaan Israel dan Hamas saling menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian tersebut sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata bahawa “garisan kuning” sempadan di mana tentera Israel telah berundur mengikut perjanjian gencatan senjata dan akan ditanda secara fizikal malah sebarang pelanggaran atau cubaan untuk menyeberang garisan itu akan dibalas dengan tembakan.
Hamas pula memperincikan apa yang didakwanya sebagai siri pelanggaran oleh Zionis yang telah menyebabkan 46 orang terbunuh dan menghalang bekalan kemanusiaan daripada sampai ke wilayah Gaza. - REUTERS